Pegawai imigresen dituduh terima rasuah RM5,100 lepaskan warga asing di KLIA

29 Jan 2026, 5:51 AM
Pegawai imigresen dituduh terima rasuah RM5,100 lepaskan warga asing di KLIA

SHAH ALAM, 29 JAN: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas tujuh tuduhan menerima suapan RM5,100 sebagai balasan melepas warga asing dari pemeriksaan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Bagaimanapun, Mohd Rahmat Mat Yusoff, 47, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, tertuduh sebagai Pegawai Imigresen Gred KP22 yang bertugas di Ibu Pejabat JIM didakwa diberikan suapan wang berjumlah RM5,100 secara pemindahan dalam talian daripada akaun seorang lelaki.

Suapan itu sebagai dorongan bagi tertuduh membantu melepaskan warga asing daripada pemeriksaan yang dilakukan oleh JIM di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

Tertuduh didakwa gagal melaporkan pemberian suapan terbabit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukannya di sebuah bank di Putrajaya antara 28 Jun hingga 16 Ogos 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Haeeb Habib Rahman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri dua bulan sekali di Pejabat SPRM berhampiran.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai.

Bagaimanapun, Nik Mohamaed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya perlu menyara seorang isteri yang tidak bekerja serta tiga anak berusia antara 13 hingga 18 tahun.

"Pihak pembelaan tidak membantah terhadap syarat tambahan yang ditetapkan pihak pendakwaan.

"Selain mengambil kira anak guam saya sudah berkhidmat di JIM hampir 25 tahun," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 27 Februari depan untuk serahan dokumen.