BATU CAVES, 29 JAN: Selepas 25 tahun membina kehidupan di kawasan setinggan, sebuah keluarga di Kampung Sri Makmur, Gombak akhirnya memulakan lembaran hidup baharu.
Bagi Razman Abd Rashid dan isterinya, Norita Mohamad, rumah kecil yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya saksi suka duka kehidupan mereka selama hampir suku abad.
Namun, ketenangan itu teruji apabila pasangan tersebut menerima perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei 2024 yang mengarahkan mereka mengosongkan kediaman berkenaan.
Ketika itu, masa depan kelihatan samar, dan kebimbangan menghantui keluarga kecil ini.

Di sebalik ujian itu, sinar harapan terbit apabila Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Dato’ Seri Amirudin Shari menawarkan peluang pemilikan Rumah SelangorKu kepada penduduk setinggan yang layak.
Norita, 46, menyifatkan penantian penuh debar akhirnya berbaloi apabila permohonannya bagi unit Pangsapuri Rumah SelangorKu Seri Temenggung, Pinggiran Batu Caves diluluskan.
“Alhamdulillah akhirnya berjaya. Mujur ketika itu anak baru bekerja dan boleh bantu buat pinjaman rumah,” ujarnya.
Kini, Norita menghela nafas lega. Kehidupan yang dahulunya dibayangi risiko keselamatan, bau busuk dan masalah tikus digantikan dengan persekitaran yang lebih selesa dan selamat.
Beliau kini menetap bersama suaminya yang bekerja sebagai pemandu van kedai barangan elektrik serta dua anak mereka, menikmati kehidupan yang lebih teratur hasil keprihatinan dasar Kerajaan Negeri.
Norita turut menyarankan peneroka bandar sepertinya supaya mematuhi arahan pengosongan jika diminta, serta bersikap terbuka menerima inisiatif ditawarkan kerajaan kepada mereka yang layak.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Ahli Parlimen Gombak, Mohammad Faizal Ismail berkata pencerobohan atau pendudukan tanah kerajaan tanpa kebenaran tetap tertakluk kepada tindakan undang-undang dan pengosongan tanpa pampasan.
Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri tetap mengambil pendekatan berperikemanusiaan dengan menawarkan alternatif melalui Skim Smart Sewa serta peluang pemilikan Rumah SelangorKu kepada penduduk yang memenuhi syarat.
“Tawaran ini membuktikan kesungguhan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari meneruskan dasar pembangunan negeri tanpa meminggirkan rakyat yang terkesan,” katanya ketika menziarahi pasangan tersebut sambil menyampaikan sumbangan daripada Pejabat Ahli Parlimen Gombak, baru-baru ini.


