Selangor bukan negeri pertama laksana cadangan ladang ternakan babi berpusat - MB

28 Jan 2026, 9:26 AM
Selangor bukan negeri pertama laksana cadangan ladang ternakan babi berpusat - MB

SHAH ALAM, 28 JAN: Hasrat Selangor melaksanakan ladang ternakan babi secara berpusat di Bukit Tagar bukan idea unik, memandangkan inisiatif sama telah dilaksanakan di Simunjan, Sarawak dan Sungai Siput, Perak.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, cadangan itu bertujuan memastikan aktiviti penternakan dijalankan secara lebih terkawal, jauh daripada penempatan penduduk serta dilengkapi sistem pengurusan sisa yang tersendiri.

Jelas beliau, langkah tersebut juga bertujuan menutup kawasan penternakan tradisional di Tanjung Sepat, Sepang yang dikenal pasti mencemar alam sekitar dan memerlukan tempoh pemulihan tanah sekurang-kurangnya enam tahun.

“(Ahli Parlimen) Pasir Mas (Ahmad Fadhli Shaari) melawat di kawasan yang tercemar. Itulah kawasan yang kita nak tutup. Kalau kita tak tutup di sana, pencemaran akan berterusan. Jadi kita nak alihkan ke satu tempat.

“Adakah Selangor satu-satunya negeri yang nak buat? Tidak. Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan telah buat. Tetapi isu itu telah menjadi isu yang panas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengenai isu ladang ternakan babi pada sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri mengambil pendekatan mendengar pandangan semua pihak sebelum menilai semula kawasan paling sesuai bagi pelaksanaan penternakan secara komprehensif.

“Jadi kita cadang, kita dengar dan kita akan menilai balik kawasan yang sesuai, jauh dari kawasan penempatan untuk penternakan yang komprehensif dengan nilai 30 peratus sahaja untuk pasaran tempatan,” katanya.

Mengulas persoalan Ahmad Fadhli berhubung pencemaran di kawasan ternakan babi Tanjung Sepat yang turut disahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Amirudin menegaskan masalah tersebut bukan isu baharu dan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menanganinya.

“Masalah itu bukan satu tahun Yang Berhormat. Ketika PAS menjadi EXCO Pertanian masalah itu masih berterusan dan kita ingin tangani,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perancangan membangunkan ladang ternakan secara terkawal telah dibincangkan sejak beberapa penggal pentadbiran negeri, namun sebelum ini berdepan kekangan kos dan ketiadaan pelabur.

“Sebelum ini, ketika saya jadi EXCO, ketika (Ahli Parlimen) Kuala Langat jadi EXCO ada dua hingga tiga kertas dibentangkan.

“Kertas itu adalah untuk membuat penternakan sebagaimana yang dirancang. Isu sebelum ini adalah tiada pelabur yang mahu buat kerana kosnya tinggi. Sekarang pelabur nak datang,” katanya.

Menurut Amirudin, kawasan Tanjung Sepat tidak lagi sesuai untuk aktiviti penternakan kerana memerlukan pemulihan jangka panjang.

“Kita tak buat di kawasan tersebut (Tanjung Sepat) kerana kawasan itu memerlukan pemulihan. UPM mencatatkan minimum enam tahun pemulihan tanah perlu dilakukan untuk pemulihan kawasan tersebut. Jadi memang kita nak tutup kawasan itu kerana sudah tercemar, buruk dan merosakkan,” katanya.

Beliau menegaskan cadangan memindahkan kawasan ternakan ke Bukit Tagar sebelum ini juga bukan bertujuan menjalankan aktiviti komersial berskala besar.

“Tidak benar kalau dikatakan kita nak buka yang mega, sampai import, eksport dan dijual di tempat lain. Itu penjelasan kita kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) dan diterima baik,” katanya.

Bagaimanapun, Amirudin berkata Kerajaan Negeri bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan projek berkenaan sementara waktu bagi merangka penyelesaian yang lebih menyeluruh.

“Kita telah ambil keputusan tidak mengapa, sementara isu sedang panas, saya terima cadangan Perdana Menteri untuk kita tangguh sekejap, rangka satu penyelesaian lebih komprehensif dan penerangan lebih baik kepada masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan rancangan pembinaan ladang ternakan babi di Bukit Tagar akan dibatalkan atau ditangguhkan sementara sebelum kaedah baharu dikenal pasti bagi menangani isu tersebut.

Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu, dan EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim telah diarahkan untuk mencari kawasan alternatif yang lebih sesuai.