MB: Ladang babi Bukit Tagar ditangguh, negeri cari alternatif baharu

26 Jan 2026, 5:05 AM
MB: Ladang babi Bukit Tagar ditangguh, negeri cari alternatif baharu
MB: Ladang babi Bukit Tagar ditangguh, negeri cari alternatif baharu
MB: Ladang babi Bukit Tagar ditangguh, negeri cari alternatif baharu

SHAH ALAM, 26 JAN: Rancangan pembinaan ladang ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor akan dibatal atau ditangguhkan sementara sebelum kaedah baharu ditemui bagi mengatasi isu berkenaan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu malah EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim sudah diarah untuk mencari alternatif kawasan gantian.

“Kita lihat ada bantahan keras di sana. Kemudian diikuti dengan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita sambut baik tapi kita tak maklumkan (putuskan) lagi kawasan itu atau alternatif atau cadangan lain.

“Isu ini pun sebenarnya separuh masak, macam kita terus nak bina semalam atau hari ini. Bagaimanapun kita belajar dari hal tersebut, mungkin terlebih umum atau mendahului dari sepatutnya,” katanya ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata rancangan pembinaan ladang terbabit dilakukan bagi menangani isu pencemaran yang berlaku di Tanjung Sepat, Kuala Langat sejak belasan tahun lalu.

Katanya ladang di Bukit Tagar itu juga bukan dibina berskala mega sebaliknya hanya melibatkan anggaran antara 20 peratus hingga 30 peratus daripada permintaan makanan berkenaan.

“Kita nak tutup pencemaran. Macam mana? Itu yang kita kena tangani. Jadi kita ikut nasihat perdana menteri sebab isu ini dan melampaui hal daripada hal sebenar dan realiti sebenar.

“Tak apalah, kita tangguh dan batalkan buat sementara sambil dapatkan alternatif, tapak atau kaedah lain,” katanya.

Pada Jumaat, Anwar memaklumkan beliau akan membincangkan hal berkenaan bersama Amirudin selain mencadangkan ia dibatalkan terlebih dahulu selepas Kabinet berpandangan isu itu membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum.