Sultan Selangor serah watikah lantikan 850 nazir, imam

28 Jan 2026, 2:39 AM
Sultan Selangor serah watikah lantikan 850 nazir, imam

KLANG, 28 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 850 nazir dan imam bagi negeri ini dalam satu istiadat di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, pagi ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan watikah lantikan tersebut bagi tempoh 2026 hingga 2030, dengan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Dato’ Muhammad Farhan Wijaya mendahului senarai penerima.

Bertitah pada istiadat berkenaan, Baginda menyeru agar imam masjid dan surau bukan sahaja mendalami ilmu agama, malah memiliki keupayaan mengurus dan mentadbir institusi masjid dengan baik.

Titah Sultan Selangor, imam hendaklah berperanan sebagai pemimpin masyarakat, pendamai dalam perselisihan serta penggerak kepada perpaduan dalam kalangan ahli kariah.

“Amalkan semangat kesatuan, saling menghormati dan bekerjasama dalam kalangan ahli kariah tanpa mengira kedudukan dan latar belakang jemaah.

“Imam juga perlu sentiasa bekerjasama dengan nazir masjid berserta ahli jawatankuasa bagi melancarkan pengurusan dan pentadbiran masjid,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar imam dan nazir masjid sentiasa menjaga watak keperibadian, akhlak serta imej diri yang baik kerana mereka merupakan cerminan institusi masjid.

“Jagalah nama baik masjid dan surau serta elakkan sebarang perbuatan yang boleh mencemarkan maruah dan kepercayaan masyarakat.

“Jangan disebabkan kesalahan seorang individu, keseluruhan institusi masjid dipandang serong umpama peribahasa Melayu kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.

“Beta yakin sekiranya semua berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar dengan berpaksikan al-Quran dan sunnah serta mengamalkan nilai-nilai keikhlasan, ikatan perpaduan umat Islam tidak akan runtuh, bahkan menjadi semakin kukuh dan mampu menghadapi segala cabaran yang mendatang,” titahnya.

Terdahulu, Sultan Selangor menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Khutbah di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atas kejayaan menyediakan teks khutbah Jumaat yang berkualiti, bernas, berfakta dan seiring perkembangan semasa.

“Beta amat menghargai pencapaian cemerlang ini kerana teks khutbah Jumaat yang baik mampu menggantikan seorang khalifah bagi menyampaikan amanat penting dalam membentuk pemikiran, akhlak dan amalan agama Islam yang sebenar,” titah Baginda.

Turut hadir pada istiadat tersebut, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah dan EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah.