Belanjawan 2026: MBPJ peruntuk RM512.7 juta, realisasi bandar raya lestari, inklusif

27 Jan 2026, 9:00 AM
Belanjawan 2026: MBPJ peruntuk RM512.7 juta, realisasi bandar raya lestari, inklusif

Oleh Fitri Hazim Hazam

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM512.7 juta bagi Belanjawan 2026, di bawah tema PJ Mampan, Bahagia dan Sejahtera, selaras dengan usaha menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya lestari, inklusif dan inovatif.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata peruntukan berkenaan melibatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM411.2 juta dan perbelanjaan pembangunan RM110.5 juta, dengan hasil dijangka berjumlah RM496.1 juta.

“Perbelanjaan mengurus merangkumi 66 program dan aktiviti dengan peruntukan RM207.29 juta.

"Manakala perbelanjaan pembangunan pula menumpukan kepada perkhidmatan dan bekalan, menaik taraf aset dan kemudahan, pembelian aset serta pemberian dan kenaikan bayaran tetap dengan jumlah RM110.47 juta dibelanjakan,” katanya.

Berucap ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di Laman MBPJ hari ini, Mohamad Zahri turut merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja MBPJ atas tekad dan dedikasi, yang membolehkan pihak berkuasa tempatan itu meraih 70 anugerah pada tahun lalu.

“Pencapaian ini pastinya menjadi suntikan semangat untuk kita terus melangkah cemerlang pada tahun ini dan masa hadapan.

"Anugerah ini bukan tiket untuk bermegah, sebaliknya merupakan manifestasi usaha berterusan, budaya kerja berkualiti serta inisiatif MBPJ dalam memperkasakan warga kerja bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.