Kuala Langat 23 hari tanpa hujan, antara enam kawasan dilanda cuaca kering

27 Jan 2026, 8:03 AM
Kuala Langat 23 hari tanpa hujan, antara enam kawasan dilanda cuaca kering

SHAH ALAM, 27 JAN: Daerah Kuala Langat, Selangor dikenal pasti antara kawasan yang mengalami tempoh kering berpanjangan apabila tidak menerima hujan selama 23 hari berturut-turut, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

MET Malaysia dalam hantaran di Facebook memaklumkan, secara keseluruhan enam kawasan di negara ini dikesan tidak menerima hujan melebihi tujuh hari, dengan Perlis merekodkan tempoh tanpa hujan terpanjang iaitu 30 hari.

Keadaan sama turut melibatkan Pulau Langkawi, Kedah yang tidak menerima hujan selama 27 hari, diikuti Melaka Tengah (Melaka) dan Barat Daya (Pulau Pinang) masing-masing selama 23 hari, manakala Kota Setar, Kedah mencatat 20 hari tanpa hujan.

Menurut MET Malaysia, pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dari semasa ke semasa menerusi Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran (Fire Danger Rating System – FDRS).

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan bacaan FDRS disarankan melayari portal rasmi MET Malaysia.