Kerajaan setuju tiada ujian diagnostik kemasukan Tahun Satu mulai 2027

27 Jan 2026, 4:53 AM
Kerajaan setuju tiada ujian diagnostik kemasukan Tahun Satu mulai 2027

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan ujian saringan diagnostik bagi kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun tidak dilaksanakan mulai sesi persekolahan 2027.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kebimbangan pelaksanaan ujian berkenaan boleh memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak serta berpotensi bersifat diskriminatif.

Selain itu, katanya, langkah berkenaan bertujuan mengelakkan kanak-kanak tercicir daripada sistem persekolahan dan mengalami kerugian pembelajaran sehingga setahun.

“Tetapi saya ingin tekankan, cadangan supaya ditiadakan adalah baik kerana ia nanti menjadi diskriminatif iaitu seseorang kanak-kanak masuk darjah satu dan masuk prasekolah kerana layak dan seorang yang lain kurang cerdik dan sebagainya tidak layak, mungkin ada kesan psikologi.

“Jadi cadangan supaya ditiadakan dipersetujui, tetapi kita bagaimanapun perlu pantau tanggungjawab guru dan ibu bapa untuk pantau kelayakan anak-anak itu.

“Dan, saya fikir oleh kerana dimulakan dengan prasekolah itu ada kebijaksanaannya kerana ia beri ruang kepada kita untuk satu tahun menilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Rahman (MUDA–Muar) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini berhubung kebimbangan terhadap murid yang gagal melepasi ujian diagnostik berisiko keciciran pembelajaran.

Menurut Anwar, ketiadaan ujian diagnostik tidak bermakna aspek pemantauan diketepikan, sebaliknya peranan guru dan ibu bapa perlu diperkukuh bagi memantau tahap kesediaan serta perkembangan pembelajaran kanak-kanak.

Beliau turut menyifatkan permulaan pendidikan melalui prasekolah sebagai langkah proaktif kerana ia memberi ruang penilaian dan pemerhatian awal selama setahun.

“Pada masa sama, sistem penilaian kecil tetap akan dilaksanakan di peringkat tahun empat bagi membolehkan intervensi awal dibuat sekurang-kurangnya dua tahun sebelum murid melangkah ke tingkatan satu.

“Dalam pendidikan, apa sahaja peringkat penilaian tidak terkecuali dan mengundang kontroversi seperti ambil peperiksaan darjah tiga salah, darjah empat salah, darjah enam salah, tidak buat langsung pun salah,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar meminta ibu bapa memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pendekatan awal tersebut dan menilai keberkesanannya dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan pakar pendidikan, Dar Anuar Ahmad menyifatkan cadangan melaksanakan ujian diagnostik atau saringan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu bercanggah dengan prinsip asas pendidikan awam dan keadilan akses pendidikan.

Beliau berkata, ujian diagnostik tidak seharusnya digunakan sebagai alat pemilihan atau penapisan kemasukan murid ke sekolah, sebaliknya bertujuan mengenal pasti keperluan pembelajaran kanak-kanak.

“Ujian diagnostik hanya digunakan bertujuan mengenal pasti keperluan murid, bukan bertujuan mendiskriminasikan murid.

“Malah istilah ujian diagnostik adalah tidak tepat untuk situasi ini,” katanya.