KLANG, 24 JAN: Fiesta Kampung Baru Selangor 2026 Jom Thit Tho Lah! berpotensi dijadikan acara tahunan atau dwitahunan serta dianjurkan secara bergilir di kampung-kampung baru bagi mempromosikan keunikan dan warisan komuniti di negeri itu.
EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Ng Suee Lim berkata fiesta berkenaan menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan 77 kampung baru, kampung nelayan dan kampung tersusun di negeri ini kepada orang ramai.
Menurut beliau, kampung baru merupakan tempat membesar bagi ramai masyarakat Cina dan menyimpan pelbagai kenangan manis, justeru penganjuran fiesta tu penting dalam usaha memelihara serta mempromosikan warisan budaya.
“Kami berharap orang ramai mengambil peluang untuk hadir ke Fiesta Kampung Baru Selangor bagi mengenali, mempromosi dan meneroka keunikan setiap kampung baru dan kampung nelayan.
"Golongan muda khususnya perlu memahami kisah serta sejarah kampung baru kerana ia penting untuk kesinambungan warisan budaya,” katanya ketika merasmikan Fiesta Kampung Baru Selangor di sini, hari ini.
Suee Lim menegaskan pembangunan kampung baru memerlukan penglibatan dan kesinambungan generasi muda.
“Kerajaan Negeri menganjurkan fiesta seperti ini bagi memperkenalkan keunikan budaya serta potensi pelancongan kampung baru Selangor, selain menggalakkan pengunjung melanjutkan tempoh tinggal mereka di negeri ini sekali gus merancakkan ekonomi tempatan,” katanya.

Turut hadir Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San; Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Leong Tuck Chee; ADN Bukit Lanjan, Pua Pei Ling; ADN Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei; ADN Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad; ADN Balakong, Ong Chun Wei; Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Chua Choon Hwa.
Suee Lim berharap fiesta itu dapat dijadikan contoh kepada kampung-kampung baru lain serta dipertimbangkan untuk dianjurkan secara tahunan atau dwitahunan sebagai penanda aras festival di peringkat nasional.
“Perkampungan baharu di Selangor bukan sekadar penempatan penduduk, malah merupakan khazanah sejarah dan budaya yang mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, semangat kerjasama serta warisan tempatan yang bernilai,” katanya.
Fiesta anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Tourism Selangor itu berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Januari di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pandamaran B.
Program itu menampilkan enam tema utama iaitu ‘Jalan-Jalan’, ‘Makan-Makan’, ‘Beli-Belah’, ‘Hiburan’, ‘Bergambar’ dan ‘Kreativiti’, bagi membolehkan pengunjung mengenali semula kehidupan, budaya serta kreativiti kampung baru melalui pelbagai pendekatan.



