Tang Jie-Ee Wei mara ke akhir Masters Indonesia

24 Jan 2026, 8:32 AM
Tang Jie-Ee Wei mara ke akhir Masters Indonesia

SHAH ALAM, 24 JAN: Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Masters Indonesia, selepas menewaskan lawan dari China, hari ini.

Dalam aksi separuh akhir kejohanan berstatus Super 500 yang berlangsung di Istora Senayan, pasangan nombor empat dunia itu tampil dengan permainan bertenaga untuk menundukkan musuh tradisi, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, lapor Berita Harian.

Lebih menarik, kejayaan itu hadir dengan cukup bergaya apabila Tang Jie-Ee Wei melengkapkan permainan dengan keputusan 21-17, 21-12, sekali gus menamatkan badi kekalahan terhadap gandingan nombor dua dunia itu.

Tang Jie-Ee Wei sebelum ini tewas dalam dua pertemuan terdahulu bertemu Zhen Bang-Ya Xin termasuk pada Jelajah Dunia Akhir BWF bulan lalu dengan rekod pertemuan menyaksikan wakil negara masih ketinggalan 3-5.

Pencapaian ke final turut menjadi pengubat duka buat gandingan negara itu selepas mengharungi permulaan musim yang agak perlahan tahun ini apabila terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia dan tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka India, minggu lalu.

Bagi Tang Jie-Ee Wei yang juga bekas juara dunia, kemenangan itu menyaksikan mereka akan beraksi dalam final Jelajah Dunia buat kali ke-10 dalam karier mereka.

Di pentas final esok, Tang Jie-Ee Wei yang dalam misi memburu gelaran kelima karier mereka di pentas Jelajah Dunia dijadual bertemu sama ada wakil tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu atau gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje bagi penentuan gelaran juara.