SHAH ALAM, 24 JAN: Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Bukit Besi ditemui lemas di air terjun Tasik Puteri Bukit Besi, Dungun hari ini.
Amirul Danish Zamri, 19, penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun lemas ketika mandi di kawasan air terjun itu bersama-sama sembilan lagi rakannya pada 11.10 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Al Muktafi Billah Shah Mohd Rezuan Adnan berkata 10 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Al Muktafi Billah Shah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 11.18 pagi.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu dibantu oleh dua anggota Pasukan Penyelamat Di Air dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mayat ditemukan di dasar tasik air terjun sedalam tujuh meter pada 12.42 tengah hari.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Daerah Dungun untuk tindakan lanjut," katanya


