BUTTERWORTH, 24 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak meneruskan amalan kartel yang menekan rakyat melalui kenaikan harga melampau dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, kesihatan dan pembinaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kewujudan kartel bukan sahaja membebankan rakyat, malah menyebabkan pembaziran peruntukan kerajaan serta menjejaskan usaha menambah baik kemudahan awam dan perkhidmatan asas.
“Jangan bergantung pada kartel yang menekan rakyat melalui kenaikan harga melampau dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, kesihatan dan pembinaan,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran blok baharu Hospital Seberang Jaya di Perai hari ini.
Anwar berkata penguasaan kartel dalam sistem perolehan serta pasaran tertentu mengakibatkan peningkatan harga yang tidak munasabah, sekali gus menyukarkan kerajaan menyalurkan dana tambahan untuk projek pembangunan seperti pembinaan hospital, klinik dan kemudahan rakyat di kawasan lain.
Beliau berkata kerajaan komited melaksanakan reformasi tatakelola termasuk memperkukuh ketelusan dalam proses perolehan bagi memastikan dana awam tidak dibazirkan atau disalah guna.
Perdana Menteri berkata beliau turut memberikan penekanan khusus terhadap sektor pertahanan negara yang memerlukan pengurusan perolehan berintegriti serta bebas daripada pengaruh kartel.
Beliau berkata langkah itu penting bagi menjamin kewibawaan pasukan keselamatan serta memastikan setiap perbelanjaan pertahanan memberikan pulangan maksimum kepada negara termasuk melalui pembangunan industri tempatan dan peningkatan keupayaan aset strategik.
Anwar menegaskan bahawa usaha membanteras kartel serta menghapuskan ketirisan perlu dilaksanakan secara menyeluruh merentasi semua kementerian dan jabatan supaya penjimatan yang dicapai dapat dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk kemudahan, bantuan serta peningkatan kesejahteraan.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan bahawa beberapa kes terpencil tidak dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pasukan keselamatan.
Beliau berkata pengorbanan ratusan ribu anggota tentera dan polis yang bertugas di sempadan, perairan serta kawasan pedalaman amat besar dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.
“Saya tidak mahu satu, dua kes tertentu itu mewakili seluruh angkatan bersenjata. Negara ini aman kerana pengorbanan mereka,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata integriti dan kewibawaan pasukan keselamatan perlu terus dipertahankan kerana sifat itu menjadi tunjang kestabilan negara serta keyakinan pelabur terhadap prestasi ekonomi Malaysia.
-- BERNAMA


