SHAH ALAM, 23 JAN: Seorang wanita warga Indonesia menjadi Orang Kena Saman (OKS) pertama di negara ini yang didenda dan diperintahkan menjalani khidmat masyarakat oleh mahkamah atas kesalahan membuang sisa pepejal di tempat awam.
Anita Lukman, 49, yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini, didenda RM500 dan diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama enam jam, dengan tempoh dua jam sehari yang perlu diselesaikan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.
Hakim Nor Aziati Jaafar turut memerintahkan Anita dipenjara 15 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut, selain boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 jika gagal melaksanakan perintah khidmat masyarakat berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Anita didakwa membuang sisa pepejal berupa puntung rokok dan botol minuman di tempat awam dan bukan ke dalam bekas yang disediakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut pada jam 12.41 tengah malam, 1 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 dan sebagai tambahan perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam, jika sabit kesalahan.
Anita yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda paling ringan atas alasan sebagai ibu tunggal yang menanggung dua anak masing-masing berusia lapan dan 15 tahun.
“Saya mengaku memang saya salah dan tidak akan ulangi lagi perbuatan itu. Berilah saya hukuman (khidmat masyarakat), saya buat, tetapi denda saya mohon yang paling ringan kerana saya tidak mampu. Saya datang sini (Malaysia) hanya tolong-tolong kawan sahaja,” katanya seperti dilapor BH.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Siti Adora Rahtimin, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang setimpal sebagai langkah pencegahan, selain perintah khidmat masyarakat sebagai usaha pemulihan.
Dalam prosiding berasingan, seorang pekerja kilang warga Bangladesh, Sultan Md, 28, turut dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan sama iaitu membuang puntung rokok di lokasi dan tarikh yang sama pada jam 1.27 pagi.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadapnya akan dibacakan semula pada 28 Januari ini, selepas OKS memohon khidmat jurubahasa Bangladesh.


