KUALA LUMPUR, 23 JAN: Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 serta pecah amanah wang RM3 juta.
Mohd Nizam, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
"Faham pertuduhan Yang Arif, tidak mengaku salah,” katanya yang memakai sut lengkap berwarna hitam selepas pertuduhan dibacakan satu persatu.
Terdahulu, dia yang bertongkat tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.20 diiringi beberapa pegawai SPRM.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nizam didakwa sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), telah menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM267,481.90 bagi dirinya sendiri, dengan melantik Sinar Bakti Global untuk menjalankan kerja “Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM468,000.
Tertuduh juga telah melantik Sinar Raudhah Global untuk menjalankan kerja “Pembekalan Kain Batik Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM52,000 dan Zahra Jaya Global untuk menjalankan kerja “Pembekalan Multifunctional Folding Pliers Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM750,000 kepada TKAT, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA ATM yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif TKAT telah menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM285,000 bagi dirinya, dengan melantik QMZ Resources untuk menjalankan kerja “Pembekalan Tuala Mandi Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM600,000.
Dia juga didakwa melantik Helmee Resources untuk menjalankan kerja “Pembekalan Beg Galas Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM1,725,000 kepada TKAT, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, telah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan di dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama, pada 4 Oktober 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574], yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan keempat, Mohd Nizam didakwa sebagai PAT ATM telah menerima wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd yang mungkin ada kaitan dalam urusan yang akan dijalankan olehnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang berdepan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib manakala Mohd Nizam diwakili Peguam Abdul Aziz Hamzah.
- BERNAMA



