SHAH ALAM, 22 JAN: Selepas tragedi yang mengorbankan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), seorang pemandu berdepan pertuduhan mencuri di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh, Mohd Izuddin Zakaria, 32, yang juga pemandu Honda Jazz terbabit dalam kemalangan berkenaan, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
“Faham pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, Mohd Izuddin didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM200, sebuah beg berwarna merah, kunci tertera perkataan Honda, pemegang kad, kad kuasa tentera, kad ATM Maybank, kad ATM Affin Bank serta lesen memandu milik seorang lelaki berusia 29 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di laluan parkir Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, kira-kira jam 1.15 petang pada 5 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan selepas tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, dan menetapkan 22 Februari depan bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


