PAAB, Air Selangor rancang penggantian paip besar-besaran hingga 2030

21 Jan 2026, 12:00 PM
PAAB, Air Selangor rancang penggantian paip besar-besaran hingga 2030

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menyasarkan penggantian 39,000 kilometer (km) paip di seluruh Malaysia menjelang 2030, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Zulkiflee Omar.

Beliau berkata, penggantian paip terutama yang usang adalah langkah penting bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) serta memastikan bekalan air lebih stabil dan mencukupi.

“Kita laksana penggantian paip kerana mahu NRW turun, namun perlu dipastikan kawasan atau lokasi yang diberi fokus termasuk sering pecah.

“Selangor contohnya, Kerajaan Negeri merancang dalam tempoh lima ke 10 tahun ke hadapan untuk penggantian paip. Hendak ganti 3,000 km sudah pasti kos tinggi, oleh itu sasaran 300 km bertepatan dan wajar diikuti negeri lain,” katanya pada Media Forum bersama pengamal media hari ini.

Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyasarkan penggantian 300 km paip setiap tahun bermula 2024 untuk mempercepat proses penggantian.

Secara keseluruhan, syarikat mensasarkan penggantian kira-kira 6,000 km paip AC lama yang dikenal pasti berisiko tinggi, dengan baki sekitar 5,000 km masih menunggu untuk diganti.

Dalam pada itu, Pengerusi PAAB, Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan langkah memperbesar empangan sedia ada bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.

“Pada masa kini, empangan sedia ada dibina berdasarkan standard teknologi British. Biarpun mampu bertahan sehingga 100 tahun, ia hanya menampung kapasiti air setakat 100 hari sahaja.

“Oleh itu, cadangan perbesar empangan agar perlu supaya mampu menampung kapasiti air dalam tempoh lebih lima bulan ketika musim hujan atau banjir,” katanya.