Penganggur didakwa bakar enam rumah di Kampung Johan Setia, kes disambung 31 Mac

21 Jan 2026, 7:32 AM
Penganggur didakwa bakar enam rumah di Kampung Johan Setia, kes disambung 31 Mac

KLANG, 21 JAN: Seorang penganggur hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membakar enam buah rumah di Kampung Johan Setia dekat sini, minggu lepas.

‎Jefery Johar, 44, yang berdepan enam pertuduhan, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syarifah Hascindie Syed Omar.

‎Dia didakwa melakukan khianat menggunakan bahan api dengan membakar rumah milik enam penduduk tempatan sekitar 2 hingga 2.30 petang pada 13 Jan lepas mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

‎Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes itu tertakluk kepada kesalahan yang tidak boleh dijamin.

‎‎"Bagaimanapun, jika mahkamah ingin menggunakan kuasa budi bicara saya mencadangkan jaminan ditetapkan sebanyak RM10,000 bagi setiap kesalahan," katanya.

‎Jefery, yang tidak diwakili peguam, tidak membuat sebarang rayuan untuk dibenarkan jaminan.

‎Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 31 Mac depan.