SHAH ALAM, 20 JAN: Operasi khas samseng jalanan di sekitar Pantai Remis, Jeram menyaksikan 309 saman dikeluarkan Bahagian Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
Op Samseng Jalanan itu dijalankan Ahad lalu dengan penyertaan seorang pegawai dan 12 anggota BSPT yang memfokus kepada pemeriksaan menyeluruh terhadap kenderaan di lokasi tumpuan.
Menurut kenyataan rasmi BSPT IPD Kuala Selangor, 247 kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut.
“Hasil daripada operasi itu, 309 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” jelas kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook rasmi BSPT.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh, serta pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan.
Tujuh motosikal turut disita atas kesalahan termasuk tiada perlindungan insurans dan pengubahsuaian tidak sah.
“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti samseng jalanan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan sama.
BSPT IPD Kuala Selangor juga memaklumkan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Langkah itu diambil sebagai peringatan kepada masyarakat agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas.



