Indonesia seragamkan ejaan nama 10 negara, Thailand dikenali Tailan

19 Jan 2026, 8:52 AM
Indonesia seragamkan ejaan nama 10 negara, Thailand dikenali Tailan

JAKARTA, 19 JAN: Indonesia menyeragamkan ejaan rasmi nama negara sebagai usaha memperkukuh penggunaan bahasa yang tepat dalam semua dokumen rasmi dan komunikasi antarabangsa.

Langkah ini diumumkan menerusi dokumen rasmi yang diperoleh CNBC Indonesia pada 19 Januari 2026, susulan pendaftaran maklumat kepada United Nations Group of Experts on Geographical Names (UNGEGN) pada 2025.

Menurut dokumen tersebut, penyeragaman ini bertujuan memastikan penggunaan nama negara selari dengan senarai rasmi UNGEGN 2021, sekali gus memudahkan rujukan dalam konteks pentadbiran, pendidikan dan komunikasi global.

“Tujuan utama adalah memastikan penulisan nama negara tepat dan konsisten, sekali gus mempermudah rujukan dalam semua konteks rasmi dan pendidikan,” jelas kenyataan itu.

Sebanyak 10 nama negara mengalami perubahan ejaan rasmi dalam bahasa Indonesia, termasuk Tanjung Hijau (Cabo Verde), Jibuti (Djibouti), Kirgistan (Kyrgyzstan), dan Liktenstin (Liechtenstein).

Turut terlibat dalam perubahan ini adalah Paraguai (Paraguay), Slowakia (Slovakia), Slowenia (Slovenia), Seisel (Seychelles), SieraLioni (Sierra Leone) dan Tailan (Thailand).

Badan Informasi Geospasial (BIG) dengan kerjasama Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa serta pakar linguistik Universiti Indonesia menjadi pemacu utama kepada inisiatif ini.

Menurut mereka, standard ejaan yang konsisten penting dalam bahan pendidikan, buku teks, media massa serta surat-menyurat rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dan menambah ketepatan maklumat.

Langkah ini menunjukkan komitmen Indonesia dalam memperkemas sistem linguistik kebangsaan agar lebih selari dengan norma antarabangsa dan perkembangan semasa.