Bayi lelaki masih hidup ditemukan di ladang kelapa sawit

18 Jan 2026, 12:00 PM
Bayi lelaki masih hidup ditemukan di ladang kelapa sawit
Bayi lelaki masih hidup ditemukan di ladang kelapa sawit

SHAH ALAM, 18 JAN: Bayi lelaki dipercayai berusia antara tiga hingga lima hari ditemukan ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit di Kinabatangan, Sabah semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan D Ravi berkata, bayi seberat 2.4 kilogram itu ditemui seorang pekerja ladang ketika sedang bekerja sebelum dimaklumkan kepada pihak pengurusan.

Menurut beliau, polis menerima laporan berhubung penemuan bayi cukup sifat itu pada jam 7.27 malam.

“Bayi tersebut ditemui dalam keadaan masih bernyawa dan segera dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.

“Keadaan bayi dilaporkan stabil, tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini berada di bawah pemantauan pihak hospital serta Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lokasi kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini tiada saksi tampil membantu siasatan.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi polis di talian 089-561890 bagi membantu siasatan.