Oleh Ilya Alias
Segenap mereka tahu bahawa aku adalah seorang yang sangat setia. Benar, setiaku tumpah pada segenap ruang. Tidak pernah sekali aku membazirkan walau segaris masa tanpa menjadi setia. Malam ini setiaku mengagumi keindahan bulan terganggu. Sudah sepurnama aku memilih untuk tinggal di sebuah rumah lama di hadapan kuburan. Aneh sekali, setiap hari juga tanah kubur di hadapan aku ini langsung tidak pernah sunyi dengan penghuni baru yang dikebumikan. Aku suka kerana aku tidak pernah berasa sunyi mahupun takut berada di situ.
Sekelilingku rumit membicarakan akan tahap kesetiaanku pada segala hal. Aku setia pada masa. Mindaku bagaikan besi kersani yang mempunyai jarum jam yang berputar pada paksi serebrum. Aku setia pada kerja, dan aku kira kerana itulah aku tetap mengabdikan tulang empat kerat ini pada skrin computer di sebuah kilang. Mereka tidak tahu akan akar tumbuhnya kesetiaanku. Aku tidak pernah mengenali ayah. Kata ibuku, ayahku hilang ketika di ambang percintaan mereka. Aku sudah lelah bertanya akan perihal dan rupa ayah, kerana jawapan ibuku hanyalah caci maki dan ayat seterusnya kalian lebih mengetahui. Bahasa kasarnya meluncur laju barangkali kerana dia berdendam akan ayah. Justeru, aku memilih untuk diam. Nafas dan jasad ibuku berpisah ketika usiaku lewat 16 tahun. Masih muda. Aku masih dapat melihat dengan jelas rona hitam yang melengkung rapat di matanya. Wajahnya lebih tua dari usia, kerana dia sangat kuat bekerja. Ketika nafasnya berada di urat tengkuk, dia sempat memberitahuku bahawa bapaku pernah memungkiri janji. Dia berjanji untuk mencium ibuku pada hari ketujuh perkahwinan mereka, namun dia lesap.
Melalui ibu, aku tahu bisa ciuman ayah sangat mengujakan. Sekali kena, pasti ketagih dan mahu lagi, tanpa henti. Kecewa ibuku tumbuh kerana dia hanya bisa mencium ayahku sehari sekali sahaja selepas perkahwinan mereka. Dan, pada hari ketujuh, ketika dia berahi menantikan ciuman pertama pada hari tersebut, ayahku bubar tanpa berita. Mudahnya, dengan cara itulah sifat setiaku dewasa. Aku mahu menjadi setia kerana enggan berhutang pada sesiapa.
Senja pada hari ini lambat pecah dan hilang. Malam yang naik kelihatan garang. Dari bidai kayu rumah, kornea mataku seolah-olah mempunyai kanta setepat teleskop kerana mampu melihat kawah-kawah kecil pada permukaan bulan yang teramat cerlang cahayanya. Aku membeliakkan mata. Teh panas dibiarkan sendirian di atas meja. Aku maju ke beranda. Melihat cahaya bulan yang jatuh dan berselerak di seluruh laman rumahku; yakni kawasan kuburan. Seekor kunang-kunang terbang sendirian, menganggu bayang daun kaduk yang melata pada penjuru tanah di kaki tangga rumahku. Sangkaan mataku dimasuki serangga meleset apabila tanah yang berada lima meter di hadapanku bergerak-gerak dan terpercik kasar naik ke udara. Aku maju ke hadapan, mendekati pusara yang tanahnya gila berkocak sehingga menampakkan susuk yang tidak enggan kalian mahu tahu keadaannya. Aku mendekati susuk tersebut. Pawana seakan mati. Hembus nafasku jua seakan terhenti. Aku cuba membatangkang keberanian dengan menyoalnya.
“Kau, mengapa?”
Lelaki di hadapanku ternyata boleh berkata-kata. Barangkali juga, aku sebenarnya dirasuk untuk memahami patah katanya.
Dia meluru ke arah diriku, mengoyak bajuku yang sudah sedia lusuh. Kain bajuku tercarik dan kulit dadaku terhiris dalam dek kukunya yang tajam dan halus. Aku menepis. Bergerak selangkah dua ke belakang. Garisan-garisan darah mengalir turun ke seluarku. Dia terus meluru ke arahku. Meminta sesuatu yang tidak pernah aku bayangkan sebelum ini; nyawa!
“Kau benar, gila! Kembali semula ke lubangmu!” Pekikanku sekuat gar dan bersambung-sambung kerana susuk itu langsung tidak mengendahkannya.
Kini wajah kami bertamu. Jarak wajah aku dan dia hanya sejengkal dan aku yakin dia dapat menghidu rasa gentar yang bergentayangan di seluruh tubuhku. Cahaya rembulan yang maha terang menewaskan keberanianku tatkala susuk itu mampir dengan dekat sekali. Wajahnya pucat dan baunya seperti ulat yang membusuk. Dia membelek rambutku yang panjang separas bahu. Kemudian, dia mengelilingi tubuhku yang tegak berdiri dan peluh dingin yang tiada tanda untuk berhenti.
“Aku pergi ketika lebih kurang usiamu.” Suaranya patah-patah tetapi dapat difahami olehku. Aku tegar membisu. Membiarkan hujahnya bersipongang dalam kengerian yang tak pernah aku mimpikan terjadi. “Aku mahukan nyawa kerana aku mahu melunaskan….” Suaranya tersekat di situ. Esofogus yang telanjang tanpa isi membuatkan isi perutku seakan mahu terkeluar. “Ciu..man… Argh!” Bagaikan kena rasuk, susuk tersebut menghampiriya dengan tulang temulang yang hampir lerai di antara satu sama lain. Ah, sukar untuk aku gambarkan apa yang dihadapi olehku kini. Tanpa disedari, sekali lagi kakiku mara mendekatinya. Dingin malam kian terasa. Aku menarik baju yang rabak sedikit agar menutupi sisa-sisa tubuh yang terlondeh.
“Aku mahu menikmati bibirnya yang halus dan kecil itu sekali lagi,” susuk itu merayu. Tangisannya menjelma persis lolongan serigala di rimba.
“Siapa?”
“Isteriku.”
“Di mana dia sekarang?” Rasa empati kian bersarang di nuraniku. “Mengapa kau tidak pernah puas mencumbuinya selama hayat masih ada?” Aku tidak pasti dari mana muncul keberanian untuk menyoalnya.
“Kerana aku hilang dan mati.” Suasana menjadi sepi. “Sudah berpuluh tahun aku menghuni kawasan ini. Aku mahu kembali!” Jeritan yang berupa lolongan menguasai seluruh atmosfera. Bau busuk mayat reput dan lama membenam rapat ke atmaku.
“Siapa isterimu?”
“Siapa isteriku?” Susuk itu keliru. Tulang temulangnya tiba-tiba lerai dari segmen tubuh satu per satu. Aku cuba menadah sedikit demi sedikit tulang yang menyembah bumi, tetapi gagal. Ianya bagaikan terpisah, jatuh dan kemudiannya berdebu lalu hilang. Hanya sehelai kertas usang, lusuh dan terkoyak di sekelilingnya bersisa di antara celah-celah habuk tulang yang bersisa di atas tanah. Cahaya rembulan yang penuh dermawan memberi peluang untukku melihat gambar yang terpapar meskipun pudar.
“Ibu!” Aku terkesima. Air mataku persis empangan Beris yang pecah dan galak memuntahkan airnya. Aku meratap pada lubang kubur yang masih berkocak tanahnya tiba-tiba. Kini, wilayah setiaku berkembang, di kuburan ayahku!


