SHAH ALAM, 18 JAN: Rakyat Kelantan kerugian RM50.09 juta akibat jenayah penipuan atau scam sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah kes jenayah komersial menunjukkan peningkatan ketara apabila 2,010 kes direkodkan pada 2025 berbanding 1,095 kes pada tahun sebelumnya.
“Ini merupakan peningkatan 915 kes dalam tempoh setahun. Walaupun jumlah kes meningkat hampir dua kali ganda, nilai keseluruhan kerugian kewangan mencatatkan penurunan daripada RM55.04 juta pada 2024 kepada RM50.09 juta pada 2025,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Menurut beliau, kes penipuan telefon atau phone scam (Macau Scam) meningkat daripada 98 kes pada 2024 kepada 139 kes pada 2025, dengan kerugian melonjak daripada RM4.47 juta kepada RM7.63 juta.
Selain itu, kes penipuan e-dagang turut menunjukkan peningkatan ketara apabila melonjak daripada 213 kes kepada 453 kes, dengan nilai kerugian meningkat daripada RM1.85 juta kepada RM3.29 juta.
“Bagi kes pinjaman tidak wujud, jumlah kes meningkat daripada 106 kepada 195 kes, manakala kerugian bertambah daripada RM1.34 juta kepada RM1.59 juta,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau turut memaklumkan kes penipuan pelaburan dalam talian meningkat daripada 173 kes kepada 205 kes, dengan kerugian melonjak daripada RM9.14 juta kepada RM12.47 juta, sekali gus menjadi antara penyumbang kerugian kewangan tertinggi.
Dalam pada itu, peningkatan paling ketara dari segi bilangan kes melibatkan penipuan kerja sambilan dalam talian, yang melonjak daripada 80 kes pada 2024 kepada 253 kes pada 2025.
Katanya, kerugian bagi kategori itu turut meningkat mendadak daripada RM1.64 juta kepada RM7.90 juta, sekali gus membimbangkan kerana ia menyasarkan golongan yang mencari pendapatan tambahan.
Sebaliknya, kes Love Scam dan Parcel Scam mencatatkan penurunan apabila jumlah kes berkurang daripada 30 kes kepada 24 kes, dengan nilai kerugian menurun daripada RM1.35 juta kepada RM389,000.



