Lelaki baling kerusi, rotan anak saudara direman dua hari

18 Jan 2026, 5:25 AM
Lelaki baling kerusi, rotan anak saudara direman dua hari

SHAH ALAM, 18 JAN: Seorang lelaki berusia 38 tahun yang ditahan kerana memukul anak saudaranya dengan rotan serta membaling kerusi direman dua hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapat perintah reman.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.21 tengah hari semalam selepas seorang individu tampil membuat aduan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah di Petaling Jaya, melibatkan mangsa kanak-kanak berumur antara lapan hingga 11 tahun.

“Suspek dikenal pasti sebagai bapa saudara kepada mangsa. Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa melawan ibu kepada suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan kes bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya," katanya.

Pada masa sama, Shamsudin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video insiden berkenaan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan serta kesejahteraan mangsa.

"Salurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang kes penderaan kanak-kanak,” katanya.