SHAH ALAM, 18 JAN: Kerajaan Negeri memperkukuh intervensi awal bagi menangani keciciran pelajar sekolah dengan memberi tumpuan kepada faktor sosioekonomi keluarga.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, berkata pendekatan lewat sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didapati kurang berkesan dan berisiko menyebabkan pelajar terus tercicir.
“Antara inisiatif utama pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang digerakkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
“Selain itu, negeri bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi mengenal pasti pelajar yang menunjukkan masalah kehadiran seawal permulaan tahun persekolahan,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, Anfaal berkata faktor ekonomi serta kaedah pembelajaran yang kurang menarik atau tidak sesuai di sekolah dikenal pasti antara punca utama keciciran pelajar.

“Kita perlu faham bahawa pendidikan ini sangat berkait dengan tahap sosioekonomi.
“Jadi pendekatan negeri bukan untuk menyalahkan pelajar, sebaliknya menggali punca sebenar mengapa mereka tidak hadir ke sekolah,” jelasnya.
Menurut beliau, pemberian bantuan perlu disasarkan mengikut kes individu, khususnya membabitkan keluarga berpendapatan rendah yang terpaksa bekerja lebih masa, termasuk pelajar yang turut bekerja bagi membantu menampung keperluan keluarga.
“Di kawasan saya sendiri (DUN Taman Templer), ada ibu bapa yang terpaksa bekerja lebih daripada satu pekerjaan.
“Malah ada pelajar yang bekerja sendiri seperti menjadi penghantar makanan atau bekerja di kedai. Kes-kes seperti ini perlu dikenal pasti dan dibantu secara bersama oleh Ahli Dewan Negeri dan juga pentadbir sekolah,” katanya lagi.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pihaknya akan memperkukuh pelaksanaan dasar sedia ada melalui pelbagai intervensi bersifat kontekstual bagi menangani isu keciciran pelajar.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata daripada keseluruhan 5,153,093 murid di sekolah KPM, seramai 1,496 murid tercicir di peringkat rendah, membabitkan 1,275 murid Bumiputera dan 221 murid bukan Bumiputera.
Beliau berkata, di peringkat menengah pula, seramai 25,626 murid tercicir, melibatkan 19,347 murid Bumiputera dan 6,279 murid bukan Bumiputera.


