Kehilangan terjawab, anak sahkan Nadia Kesuma meninggal dunia

18 Jan 2026, 12:30 AM
Kehilangan terjawab, anak sahkan Nadia Kesuma meninggal dunia

SHAH ALAM, 18 JAN: Kehilangan pelakon Nadia Kesuma selepas tiba di Jeddah akhirnya terjawab apabila wanita itu disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu.

Berita sedih itu dikongsi anak perempuannya menerusi satu hantaran di Threads

“Assalamualaikum semua, saya ingin memaklumkan bahawa mama saya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim telah pun kembali ke Rahmatullah pada 15 Januari lalu (Khamis) kira-kira pukul 8.05 pagi.

“Terima kasih kepada kalian yang tidak berhenti menitipkan doa buat mama. Mohon doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, diampunkan segala dosanya dan dirahmati Allah.

“Arwah meninggal disebabkan sakit jantung dan kemudiannya telah dibawa ke hospital pada hari yang sama arwah tiba di Lapangan Terbang Jeddah.

“Tiada pihak yang memaklumkan kepada kami sekeluarga tentang keadaan arwah sehinggalah malam ini pada pukul 11.10 malam. Berita tersebut disampaikan oleh agensi pelancongan itu sendiri,” tulis Myyrraaa.

Pemergian Nadia turut disahkan oleh suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, serta sahabat baiknya, pelakon Anne Abdullah, menerusi hantaran di media sosial masing-masing.

Muhammad Kamarul berkata, jenazah isterinya itu tidak dibawa pulang ke Malaysia, sebaliknya akan dikebumikan di Jeddah.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat atas persetujuan ahli keluarga.

"Kami tak bawa pulang, kami akan kebumikan di sana (Jeddah).

"Ini atas perbincangan keluarga dan saya rasa ini yang arwah mahukan," katanya seperti dilapor BH.

Sebelum ini, Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 49, yang pernah membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta, dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya ke London, United Kingdom (UK) dari Kuala Lumpur transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Wisma Putra mengesahkan Nadia dikesan sudah meninggalkan lapangan terbang Jeddah.

Allahyarhamah merupakan antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah dan ziarah bersama sebuah agensi pelancongan, dengan perjalanan dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 28 Januari ini.