Ladang babi Bukit Tagar patuhi dasar pelepasan sifar, tiada pencemaran air

16 Jan 2026, 4:31 PM
Ladang babi Bukit Tagar patuhi dasar pelepasan sifar, tiada pencemaran air
Ladang babi Bukit Tagar patuhi dasar pelepasan sifar, tiada pencemaran air

SHAH ALAM, 17 JAN: Pembinaan ladang ternakan babi di Bukit Tagar dilaksanakan tertakluk kepada dasar pelepasan sifar (zero discharge policy) yang ketat bagi memastikan sumber air tidak tercemar.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim menegaskan dasar berkenaan menetapkan bahawa tiada sebarang pelepasan air najis dibenarkan ke sungai atau saliran awam.

Sebaliknya, kata beliau, semua air sisa perlu dirawat dan dikitar semula sepenuhnya menggunakan teknologi moden di kawasan ladang yang luas.

“Ladang turut dilengkapi tahap sekuriti bio yang tinggi, menjadikan jangkitan kuman dan penyakit ternakan sukar merebak.

“Bukit Tagar mempunyai buffer zone (kawasan penampan) yang luas dan terletak jauh dari kawasan penempatan penduduk, sekali gus mengurangkan risiko pencemaran serta gangguan kepada komuniti setempat,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Jangan Pajak Otak, malam tadi.

Mengulas isu penternakan babi di Tanjung Sepat, Izham memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor tidak pernah mengeluarkan lesen kekal kepada mana-mana penternak ladang babi di kawasan berkenaan.

Katanya, sebelum beliau memegang portfolio pertanian, terdapat 128 ladang ternakan yang telah lama beroperasi di kawasan tersebut, namun kebanyakannya gagal memenuhi sepenuhnya syarat ditetapkan.

“Setiap enam bulan lesen perlu diperbaharui. Namun, disebabkan tekanan politik dan pelbagai faktor lain, sekiranya kerajaan mengambil tindakan menghentikan operasi kerana ketidakpatuhan syarat, ia sudah tentu akan mencetuskan banyak perbalahan.

“Kerajaan sebelum ini telah mengambil pendekatan memberi kelonggaran, membenarkan penternakan diteruskan, namun lesen yang diberikan hanyalah bersifat sementara dan perlu diperbaharui setiap enam bulan,” ujarnya.

Isu ladang babi menjadi tumpuan ramai selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Susulan pertemuan Sultan Selangor dengan Izham pada 12 Januari lalu, beberapa penambahbaikan telah diputuskan termasuk mempercepatkan pemindahan ladang ternakan ke Bukit Tagar pada tahun ini serta memastikan tiada dana awam digunakan dalam urusan berkaitan.