SHAH ALAM, 14 JAN: Selepas isu ladang babi berlarutan lebih 30 tahun, Kerajaan Negeri kini mengambil langkah pantas dengan mempercepat proses pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar bagi menyelesaikan masalah yang telah lama diabaikan.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata perbincangan lanjut dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) turut dijalankan bagi mendapatkan pengesahan rasmi berhubung jadual pemindahan lokasi baharu.
“Perbincangan bersama MMKN petang Rabu penting bagi memastikan pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar dapat dilaksanakan secara teratur dengan penglibatan semua pihak termasuk penternak dan pematuhan prosedur yang ditetapkan.
Isu ini telah berlarutan lebih 30 tahun dan pelbagai kerajaan sebelum ini gagal menyelesaikannya. Kerajaan Negeri sekarang mengambil tindakan tegas untuk menyelesaikan masalah ini dengan cepat dan berkesan,” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.
Menurut Izham, pembangunan ladang ternakan di Bukit Tagar akan dijalankan secara moden dan terancang, mematuhi semua syarat ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi memastikan operasi harian berjalan lancar.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri juga mengambil kira aspek penampanan antara ladang bagi memastikan penularan penyakit dapat dielakkan serta untuk menyelesaikan masalah gangguan atau aduan daripada masyarakat.
Izham berkata langkah ini merupakan usaha bersepadu Kerajaan Negeri untuk memastikan industri ternakan babi di Selangor lebih moden, selamat, terurus dan lestari, sekali gus menamatkan isu lama yang telah menjadi perhatian masyarakat selama beberapa dekad.
Isu ladang babi menjadi tumpuan ramai selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Susulan pertemuan Sultan Selangor dengan Izham pada 12 Jan lalu, beberapa tambah baik dilakukan termasuk mempercepatkan pemindahan ladang ternakan ke Bukit Tagar pada tahun ini dan tiada dana awam digunakan dalam urusan berkaitan dengannya.


