Pembatalan projek Vestland tidak jejas agenda rumah mampu milik Selangor

16 Jan 2026, 12:00 PM
Pembatalan projek Vestland tidak jejas agenda rumah mampu milik Selangor

SHAH ALAM, 16 JAN: Kerajaan Negeri memberi jaminan pembatalan projek Vestland Berhad tidak menjejaskan penyediaan rumah mampu milik kerana tanah terbabit kekal milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata pembatalan projek berkenaan dibuat melalui penamatan kontrak secara persetujuan bersama antara pihak terlibat dan berlaku sebelum sebarang kerja fizikal dimulakan.

“Justeru, tanah yang terlibat dalam pembatalan perjanjian tersebut kekal milik PKNS dan syarat penyediaan rumah mampu milik di atas tanah tersebut kekal berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, PKNS kekal bertanggungjawab untuk memastikan penyediaan rumah mampu milik dilaksanakan, sama ada melalui pelaksanaan semula projek atau kaedah lain yang ditetapkan, selaras dengan dasar dan perancangan Kerajaan Negeri,” katanya menerusi kenyataan kepada Media Selangor.

Walaupun projek perumahan di lokasi terbabit ditangguhkan, Borhan menegaskan bekalan kediaman mampu milik di kawasan sekitar kekal mencukupi dan berterusan.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah. Foto SHEEDA FATHIL/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, Kerajaan Negeri ketika ini mempunyai bekalan rumah mampu milik yang mencukupi di Setia Alam dan Cyberjaya, dan pembatalan projek tertentu tidak menjejaskan peluang rakyat untuk memiliki kediaman.

“Di Setia Alam, sebanyak 5,490 unit rumah mampu milik telah siap, 4,318 unit sedang dalam pembinaan dan 5,719 unit berada dalam perancangan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 15,527 unit.

“Manakala di Cyberjaya, sebanyak 3,756 unit telah siap, 1,929 unit sedang dalam pembinaan dan 6,453 unit berada dalam perancangan, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 12,138 unit,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan Vestland Berhad tidak akan meneruskan tiga projek perumahan mampu milik di Selangor bernilai sehingga RM550.69 juta, yang diperoleh pada 2022 daripada Splendid Forte Development Sdn Bhd.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, Vestland Resources Sdn Bhd dan Splendid Forte bersetuju menamatkan kontrak terbabit secara persetujuan bersama, melibatkan projek Selangor Cyber Valley Fasa 1 dan Fasa II di Dengkil, Sepang, serta projek Sierra Alam di Bukit Raja, Petaling.

Projek-projek berkenaan dianugerahkan di bawah skim perumahan mampu milik Selangor dan melibatkan pembangunan kediaman, kerja-kerja infrastruktur serta landskap.

Projek Selangor Cyber Valley masing-masing mempunyai nilai kontrak RM234.86 juta bagi Fasa 1 dan RM198.50 juta bagi Fasa II, manakala projek Sierra Alam bernilai sehingga RM117.33 juta.

Laporan berkenaan bagaimanapun tidak memperincikan sebab penamatan kontrak, namun menyatakan keputusan itu dibuat demi kepentingan syarikat selepas mengambil kira semua faktor berkaitan.

Vestland Berhad turut memaklumkan penamatan berkenaan dijangka tidak memberi kesan material terhadap pendapatan atau aset bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.