Putrajaya sokong cadangan ladang babi moden di Bukit Tagar

16 Jan 2026, 8:32 AM
Putrajaya sokong cadangan ladang babi moden di Bukit Tagar

SHAH ALAM, 16 JAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyokong cadangan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar, Hulu Selangor jika ia dilaksana menggunakan kaedah moden.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementerian tidak mempunyai halangan terhadap sebarang cadangan pemindahan ladang ternakan selagi keperluan pemeliharaan alam sekitar dipatuhi.

“Ya, kita tidak ada masalah dengan sebarang perpindahan kerana penternakan juga perlu memenuhi kehendak alam sekitar.

“Kalau didapati bahawa di Bukit Tagar itu lebih sesuai dengan persekitarannya, maka di peringkat kementerian kita tidak ada masalah dengan apa yang hendak dibuat oleh Kerajaan Negeri,” katanya seperti dilapor Utusan.

Beliau berkata keluasan kawasan penternakan baharu yang dicadangkan di Bukit Tagar dijangka membolehkan operasi dijalankan secara lebih tersusun, selain membuka ruang kepada penggunaan teknologi moden dalam sektor penternakan.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan kawalan pencemaran perlu diberi keutamaan bagi memastikan sumber air berhampiran terus terpelihara serta tidak menjejaskan alam sekitar dan komuniti setempat.

“Sudah tentu penternakan dalam skala besar seperti ini perlu pergi ke arah pemodenan bagi mengelakkan pencemaran.

“Jika ia dilakukan dengan sistem yang moden dan tidak berlaku pencemaran yang berleluasa, maka kita di pihak kerajaan dan kementerian mengalu-alukan apa yang dilakukan di Selangor,” katanya.

Isu ladang babi menjadi tumpuan selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Susulan pertemuan Sultan Selangor dengan EXCO Pertanian pada 12 Januari lalu, Kerajaan Negeri mengambil beberapa langkah penambahbaikan termasuk mempercepatkan pemindahan ladang ternakan ke Bukit Tagar pada tahun ini serta memastikan tiada dana awam digunakan bagi tujuan berkenaan.

Menurut Dato’ Ir Izham Hashim, kawasan Bukit Tagar seluas 500 ekar yang dicadangkan sebagai pusat penternakan babi moden merupakan kawasan pelupusan sisa dan tidak berpenghuni.

Beliau menjelaskan pemilihan lokasi itu tidak melibatkan sebarang penempatan penduduk, sekali gus menepis dakwaan bahawa cadangan berkenaan menyentuh sensitiviti kaum seperti dibangkitkan sesetengah pihak.