SHAH ALAM, 15 JAN: Dua wanita warga Indonesia yang menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dan pemerdagangan orang diselamatkan dalam dua operasi berasingan di sini pada 6 dan 12 Januari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama dilakukan di Kapar, membabitkan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun yang dipercayai menjadi ejen menyerahkan pembantu rumah kepada majikan.
“Dalam operasi tersebut, seorang wanita warga Indonesia berusia 45 tahun berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati mangsa memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah tetapi dieksploitasi untuk bekerja sebagai pembantu rumah, termasuk dibebani hutang perjalanan RM3,000 yang perlu dilunaskan menerusi potongan gaji bulanan.
Menurut Zakaria, sindiket tersebut dikesan menggunakan aplikasi WhatsApp untuk menawarkan perkhidmatan pembantu rumah dengan bayaran RM8,000 kepada majikan dan menjanjikan gaji RM1,500 kepada pekerja, lapor Sinar Harian.
Operasi terbabit hasil aduan awam serta risikan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) dan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya.
Bagi operasi kedua, pihak berkuasa menyelamatkan seorang lagi wanita warga Indonesia berusia 54 tahun di sebuah kediaman di Bukit Jelutong yang diubah suai menjadi premis makanan.
Mangsa dipercayai telah bekerja hampir sebulan di premis terbabit selepas diserahkan oleh ejen kepada majikan dengan bayaran mencecah RM14,000.
“Siasatan mendapati mangsa dipaksa bekerja melebihi masa ditetapkan, manakala pasport dan telefon bimbit mangsa dipegang sindiket, menyebabkan dia terputus hubungan dengan keluarga,” ujarnya.
Zakaria berkata, wanita berkenaan juga berada dalam keadaan trauma akibat penderaan fizikal dan mental serta dikawal ketat oleh pihak sindiket.
Susulan itu, seorang wanita tempatan yang juga pemilik premis telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].
.



