Warga asing beli MyKad palsu RM300 kerana mahu bekerja

15 Jan 2026, 8:18 AM
Warga asing beli MyKad palsu RM300 kerana mahu bekerja
Warga asing beli MyKad palsu RM300 kerana mahu bekerja

SHAH ALAM, 15 JAN: Alasan mahu mendapatkan pekerjaan dikenal pasti antara sebab warga asing memiliki kad pengenalan MyKad palsu yang diperoleh dengan harga serendah RM300.

Perkara itu terbongkar selepas sebuah kilang elektronik di Telok Panglima Garang digempur Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam satu operasi penguatkuasaan semalam.

Operasi dikenali sebagai Op Vape yang bermula jam 7.30 malam itu dilaksanakan bagi membanteras pemalsuan dokumen pengenalan diri, khususnya MyKad, serta penyalahgunaan dokumen milik orang lain untuk tujuan pekerjaan.

Wanita warga Indonesia berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Nulina berkata dia memperoleh MyKad palsu selepas diperkenalkan kepada seorang ejen oleh rakannya.

Menurut ibu dua anak itu, kad pengenalan berkenaan dibeli pada harga RM300 bagi membolehkannya mendapatkan pekerjaan.

“Saya beli MyKad ini melalui kawan. Dia beritahu kalau mahu kerja perlu ada IC. Saya baru guna dan tidak tahu perbuatan ini salah,” katanya ketika ditemui selepas ditahan, lapor Sinar Harian.

Wanita itu antara 15 warga Indonesia yang ditahan dalam operasi berkenaan bagi kes memiliki dan menggunakan dokumen pengenalan diri tidak sah.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi terancang itu digerakkan hasil intipan tiga minggu dan berjaya mengesan kesalahan memiliki kad pengenalan palsu serta menggunakan kad pengenalan orang lain.

Jelasnya, tindakan JPN ialah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-dua sekali.

"Di bawah tindakan JIM, kita akan siasat jika mereka masuk kosong tanpa dokumen, keduanya pas kerja sah yang tamat atau salah guna pas dan ketiga ialah tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63, manakala JTK pula akan menguatkuasakan Akta Kerja 1955," katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan.