MB: Penilaian alam sekitar, sosial jadi keutamaan pindah penternakan babi ke Bukit Tagar

13 Jan 2026, 5:38 AM
MB: Penilaian alam sekitar, sosial jadi keutamaan pindah penternakan babi ke Bukit Tagar

SHAH ALAM, 13 JAN: Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) menjadi keutamaan dalam pemindahan operasi penternakan babi ke Bukit Tagar, Hulu Selangor, kata Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari, hari ini.

“Tapak pemindahan memerlukan EIA serta penilaian sistem kumbahan bagi memastikan ia tidak beri kesan pada sungai dan kawasan persekitaran.

“Kajian terperinci untuk cerapan keperluan juga akan disemak oleh badan bebas dalam masa terdekat. Tetapi buat masa ini, hanya 30 peratus daripada keperluan tempatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan watikah pelantikan pengerusi panel penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini

Beliau turut memaklumkan yang pemindahan melibatkan 69 pengusaha dilaksanakan tahun ini melalui perundingan dan penjelasan kepada mereka, langkah ini selaras dengan titah Sultan Selangor yang mahukan pemindahan itu segera dilakukan.

“Yang dikenal pasti aktif adalah 69 pengusaha dan selebihnya kita tidak berikan lesen. Pemindahan akan dilakukan kerana selagi kawasan ini tidak ditutup, pencemaran terhasil daripada konsep penternakan tradisional berlanjutan.

“Langkah awal kita adalah sebenarnya hendak tutup pengurusan tradisional yang mengundang pencemaran bau ke arah penternakan moden diusahakan pihak swasta.

“Saya juga ingin tegaskan tidak terlibat kewangan Kerajaan Negeri atau mana-mana tanah. Jika diusahakan tanah pun ia dibeli oleh pihak terbabit,” katanya.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Selangor tidak akan menyediakan dana atau membuat pelaburan bagi operasi penternakan babi pada masa depan, termasuk yang akan dipindahkan ke Bukit Tagar.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Baginda menegaskan tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.

Menerusi kenyataan sama, kajian perlu dilakukan dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, supaya ia kekal pada tahap munasabah dan terkawal.

Baginda turut menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat selain operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur.

Terdahulu, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim menjelaskan pemindahan ladang ternakan babi di Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar, dipercepatkan tahun ini, lebih awal daripada perancangan asal pada 2030.

Pada 10 Januari, Sultan Selangor kecewa dengan perancangan membenarkan penternakan babi di Tanjung Sepat sebelum dipindahkan, dengan kebimbangan terhadap pembangunan ladang babi berskala besar di kawasan majoriti masyarakat Melayu.