KLANG, 14 JAN: Pengajian tahfiz bukan sekadar menumpukan hafazan ayat suci al-Quran, sebaliknya berperanan membentuk jati diri, memperkukuh akhlak serta menyemai rasa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.
Graduan Pengajian Tahfiz Istana Alam Shah Muhamad Hariz Mirza Muhamad Jriza berkata al-Quran menjadi panduan utama dalam membentuk peribadi seimbang dan melahirkan insan yang mampu menyumbang kepada masyarakat.

“Kami berazam untuk terus memelihara hafazan, meningkatkan kefahaman al-Quran serta mengamalkan ajaran kitab suci ini dalam setiap aspek kehidupan.
“Mewakili barisan pelajar, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan berterusan khususnya daripada Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor serta pengurusan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Alam Impian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan dalam majlis penyerahan sijil tamat Pengajian Tahfiz Istana Alam Shah yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Istana Diraja Yang Amat Dihormati Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Dato' Setia Putra Alhaj berkata program Pengajian Tahfiz Istana Alam Shah yang diperkenalkan sejak 2011 berjaya melahirkan graduan berkualiti dan berbakti kepada masyarakat.
Menurutnya, ramai lepasan program tersebut kini berkhidmat sebagai doktor, jurutera, guru, imam serta memegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta, sekali gus membanggakan negeri Selangor.

“Melalui program ini, para pelajar mengikuti kelas hafazan al-Quran di Masjid Istana Diraja pada waktu malam dan selepas Subuh.
“Pembelajaran akademik pula dijalankan di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Alam Impian, Shah Alam. Mudah-mudahan pengajian ini terus melahirkan generasi huffaz yang cemerlang serta memberi manfaat besar kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Pengajian Tahfiz Istana Alam Shah diwujudkan bersempena penubuhan Masjid Istana Diraja pada 2011, dengan kumpulan pertama melibatkan 12 pelajar bagi tempoh 2011 hingga 2016.
Ia diteruskan dengan kumpulan kedua seramai 10 pelajar dari 2016 hingga 2020, diikuti kumpulan ketiga melibatkan sembilan pelajar yang menamatkan pengajian tahun lalu.
Pengambilan pelajar dibuat setiap lima tahun sekali, melibatkan kira-kira 10 anak jati Selangor yang memiliki latar belakang akademik cemerlang serta sahsiah terpuji.




