HULU LANGAT, 13 JAN: Kebakaran di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Bandar Baru Bangi tidak menyebabkan sebarang kecederaan, namun mengakibatkan kerosakan pada kantin dan peralatan dapur sehingga menjejaskan operasi harian sekolah.
Pengusaha kantin, Mohd Salehzahrin Mohd Saleh berkata beliau dimaklumkan oleh pengawal keselamatan mengenai kejadian itu pada jam 3.40 petang, 10 Januari lalu, ketika kantin berkenaan baru sahaja siap diubah suai.

“Saya bersyukur kejadian ini tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa. Namun, kebakaran telah memusnahkan beberapa peralatan dan barangan plastik serta merosakkan peti sejuk.
"Walaupun kantin ini baru sahaja selesai 100 peratus pengubahsuaian sempena pembukaan sesi persekolahan baharu, saya reda menerima ujian ini dan amat menghargai keprihatinan pihak berwajib serta sumbangan yang diberikan,” katanya kepada Media Selangor.
Mohd Salehzahrin berkata pihak sekolah menyediakan lokasi sementara bagi membolehkan kerja memasak dan penyediaan makanan diteruskan supaya kebajikan pelajar tidak terjejas.
Beliau turut melahirkan rasa syukur atas keprihatinan pihak berkaitan serta sumbangan yang diterima, yang disifatkan sebagai sokongan moral untuk terus berdepan ujian dan dugaan.

Semalam, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) masing-masing menyalurkan RM50,000 bagi membantu pembangunan semula kantin SRAI Bandar Baru Bangi yang menempatkan lebih 1,000 murid.
Dalam pada itu, lima khemah sementara juga disediakan melalui Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sementara pihak sekolah mengatur lokasi alternatif tersebut.


