Persempadanan semula: Manfaatkan media sosial dekati rakyat

18 Jan 2026, 4:00 AM
Persempadanan semula: Manfaatkan media sosial dekati rakyat

SHAH ALAM, 18 JAN: Platform media sosial perlu dimanfaatkan wakil rakyat untuk berhubung dengan masyarakat, berbanding bergantung sepenuhnya menerusi penganjuran program.

Penjawat awam Thamendran Krishnan Kutty, 50, berkata penggunaan media sosial lebih meluas dan berkesan khususnya dalam mendapatkan maklumat terkini berkait permasalahan rakyat.

Malah, katanya, platform tersebut amat berguna jika persempadanan semula dibuat bagi memudahkan sebarang isu berbangkit terutama di kawasan terpecil diselesaikan dengan mudah.

“Sebagai rakyat Selangor, sekiranya kerajaan bercadang pecahkan zon ia sangat baik kerana isu-isu berbangkit dapat diselesaikan dengan lebih mudah khususnya berkaitan geopolitik dan ekonomi.

“Dengan persempadanan semula, wakil rakyat boleh beri perhatian serius.Jika kita lihat memang sukar bertemu tetapi mereka boleh manfaatkan media sosial untuk mendengar suara rakyat,” katanya.

Penghantar barang Muhammad Akmal Mohd Yunus,2 8, berpendapat tiba masanya persempadanan semula dilaksanaKAN supaya masalah di sesebuah kawasan dapat diatasi segera.

“Saya menetap di Meru dan semua maklum memang kawasan ini sering banjir. Kesan banjir ini menyebabkan kerugian dan jalan raya mudah rosak tetapi untuk menyuarakannya mengambil masa lama.

“Jadi, dengan persempadanan semula, isu berbangkit ini dapat diselesaikan segera. Lebih banyak kebaikan kerana kawasan yang pengundi tidak terlalu ramai ini dapat bantu wakil rakyat fokus jalankan tanggungjawab,” katanya.

Kajian persempadanan semula kali terakhir dilaksanakan pada 2018 dan tertakluk kepada had masa lapan tahun seperti diperuntuk bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebarang kajian baharu hanya boleh dimulakan selepas tempoh itu berakhir, dengan mengambil kira data bancian penduduk dan perumahan yang dijalankan setiap 10 tahun.

Sehubungan itu, isu ketelusan, keterangkuman dan keyakinan awam terhadap SPR dijangka terus menjadi tumpuan menjelang kemungkinan kajian persempadanan semula seterusnya.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan tidak akan menyokong sebarang cadangan persempadanan semula pilihan raya yang boleh menjejaskan kepentingan kawasan majoriti Melayu di negeri ini.

Kebimbangan itu timbul susulan andaian terdapat pihak yang mahu menambah kerusi bukan Melayu menerusi proses persempadanan semula berkenaan.

Beliau menegaskan persempadanan semula perlu dibuat secara menyeluruh melibatkan semua 22 kerusi Parlimen di Selangor dan bukan tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.