Tabika, Taska Perpaduan terima dana RM55.5 juta bagi sesi 2026

12 Jan 2026, 7:46 AM
Tabika, Taska Perpaduan terima dana RM55.5 juta bagi sesi 2026

SHAH ALAM, 12 JAN: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperuntukkan sebanyak RM55.5 juta kepada Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan bagi sesi persekolahan 2026.

Ketua Setiausaha KPN, Datuk Haslina Abd Hamid, berkata peruntukan itu bertujuan menyediakan sokongan menyeluruh kepada murid, memupuk minat dan motivasi pembelajaran serta membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa.

Beliau berkata, bermula sesi persekolahan tahun ini, Tabika Perpaduan turut melaksanakan Kurikulum Prasekolah baharu yang menekankan nilai perpaduan, hormat dan kasih sayang sejak usia awal, selari dengan fokus kementerian dalam pembinaan negara bangsa.

"Kurikulum ini merangkumi modul khas seperti Rukun Negara serta pengenalan bahasa ketiga iaitu Tamil, Mandarin, Iban dan Kadazan yang dilaksanakan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Santuni Murid Tabika Perpaduan Kembali Ke Tabika Perpaduan Sesi 2026 di Tabika Perpaduan Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.

Pada majlis sama, murid turut menerima sumbangan susu daripada rakan strategik bagi menyokong perkembangan kesihatan dan kognitif mereka.

Mengulas perincian peruntukan, Haslina berkata ia meliputi bantuan makanan tambahan RM24.4 juta, starter kit merangkumi baju seragam, beg, selimut dan tuala berjumlah RM2.3 juta, kerja pembaikan RM20 juta serta Program Generasi Cilik Perpaduan RM2.7 juta.

Setakat ini, terdapat 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara membabitkan kira-kira 33,000 murid, merangkumi TASKA dan Tabika bagi kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kementerian sedang menjalankan kajian untuk menambah 20 Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan di seluruh negara.