Pameran SELAK angkat jiwa ikon seni menerusi lensa fotografi

12 Jan 2026, 4:00 AM
Pameran SELAK angkat jiwa ikon seni menerusi lensa fotografi
Pameran SELAK angkat jiwa ikon seni menerusi lensa fotografi
Pameran SELAK angkat jiwa ikon seni menerusi lensa fotografi
Pameran SELAK angkat jiwa ikon seni menerusi lensa fotografi

PETALING JAYA, 12 JAN: Pameran fotografi SELAK bukan sahaja menampilkan wajah ikon seni tanah air, malah turut membuka ruang kepada orang ramai untuk memahami karakter sebenar penggiat seni menerusi lensa jurufoto profesional, Faizal Hussin.

Menampilkan 12 karya melibatkan tokoh seni seperti Dato’ M Nasir, Awie, Ito Blues Gang, Qi Razali dan Amy Search, pameran yang berlangsung di Kokopelli at Templer itu dibuka secara percuma kepada orang ramai mulai semalam hingga 22 Februari depan.

Pelakon Qi Razali berkata, pameran seperti itu jarang diketengahkan dan wajar diberi perhatian kerana ia mengangkat seni fotografi sebagai satu bentuk seni visual yang penting di Malaysia.

“Kalau kita hargai seni tempatan, kena kenal juga siapa penyumbang karya seni di negara ini. Dalam pameran ini ada pemuzik, pelakon, penulis dan ramai lagi.

Pelakon Qi Razali ditemui ketika majlis pembukaan Pameran Fotografi bertajuk SELAK di Kokopelli Petaling Jaya pada 11 Januari 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Fotografi hitam putih pula tidak banyak ditonjolkan, sedangkan ia sangat kaya dari segi cahaya, bayang dan emosi,” katanya ketika ditemui Media Selangor selepas majlis pelancaran pameran di Kokopelli at Templer semalam.

Menurut beliau, pameran turut memberi peluang kepada pengunjung untuk bukan sahaja melihat gambar, tetapi juga memahami kisah di sebalik setiap potret yang dipamerkan.

Qi yang pernah dirakam oleh Faizal pada 2022 berkongsi, pendekatan jurufoto berpengalaman itu berbeza kerana lebih menekankan kejujuran dan sifat semula jadi pada setiap subjek di lensa itu.

“Faizal tidak mahu gambar yang terlalu bergaya. Dia lebih suka merakam detik spontan seperti ketika kita membetulkan jam atau rambut. Itu yang menjadikan gambar dia sangat ‘real’ dan hidup,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Faizal juga jarang bergantung kepada suntingan digital, sebaliknya memastikan pencahayaan dan komposisi dirakam sebaik mungkin terus dari kamera.

Sementara itu, komposer Edrie Hashim menyifatkan Faizal sebagai jurufoto yang mempunyai sensitiviti seni tinggi dan mampu menghasilkan potret yang mendalam.

Komposer Edrie Hashim ditemui ketika majlis pembukaan Pameran Fotografi bertajuk SELAK di Kokopelli Petaling Jaya pada 11 Januari 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Sekali imbas, gambar itu mungkin nampak biasa. Tetapi apabila kita benar-benar memahami cara Faizal melihat subjek, kita akan rasa gambar itu seolah-olah mempunyai suara sendiri,” jelasnya.

Menurut Edrie, karya Faizal tidak hanya merakam imej yang cantik secara luaran, sebaliknya berusaha menangkap kedalaman karakter seseorang.

“Dia mahu tangkap ‘the depth of character’, bukan sekadar rupa. Itu yang membezakan karya dia dengan jurufoto lain,” tambahnya.