Pameran fotografi SELAK rai ikon seni tempatan dengan karya hitam putih

11 Jan 2026, 2:20 PM
Pameran fotografi SELAK rai ikon seni tempatan dengan karya hitam putih
Pameran fotografi SELAK rai ikon seni tempatan dengan karya hitam putih
Pameran fotografi SELAK rai ikon seni tempatan dengan karya hitam putih

PETALING JAYA, 11 JAN: Pameran fotografi SELAK yang menampilkan 12 karya hitam putih jurufoto profesional, Faizal Hussin dibuka kepada orang ramai secara percuma mula hari ini hingga 22 Februari depan di Kokopelli at Templer, di sini.

Faizal berkata pameran itu bertujuan mendokumentasi serta meraikan sumbangan penggiat seni tanah air menerusi medium fotografi membabitkan tokoh muzik, lakonan dan penulisan yang banyak mempengaruhi perkembangan seni tempatan.

Jurugambar Faizal Hussin ditemui ketika majlis perasmsian Pameran Fotografi SELAK di Kokopelli at Templer, Petaling Jaya pada 11 Januari 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Pameran ini merupakan satu bentuk penghormatan kepada ikon seni seperti Dato’ M. Nasir, Awie, Amy Search, Ito Blues Gang dan Qi Razali yang telah menyumbang secara signifikan kepada dunia kreatif negara,” katanya yang sudah berkecimpung dalam industri fotografi hampir 30 tahun.

Ditemui pada majlis pelancaran hari ini, Faizal memberitahu pameran berkenaan turut membawa mesej bahawa fotografi tidak seharusnya terhenti di peringkat digital, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk cetakan fizikal sebagai karya seni yang lengkap.

“Gambar yang belum dicetak sebenarnya belum siap. Apabila dicetak, barulah ia menjadi satu ‘piece of art’ yang sempurna,” katanya yang memilih konsep hitam putih bagi menampilkan sisi kemanusiaan subjek yang dirakam.

Ketua Serantau Acara Korporat Kumpulan CIMB Ismail Ani Arope berucap di Majlis pembukaan Pameran Fotografi SELAK di Kokopelli at Templer, Petaling Jaya pada 11 Januari 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau turut menegaskan bahawa profesion jurufoto perlu diberikan pengiktirafan sewajarnya kerana ia bukan sekadar merakam imej, tetapi turut membawa sudut pandang dan pemikiran tersendiri.

“Jurufoto bukan hanya orang yang dijemput untuk ambil gambar. Kami ada pendapat dan interpretasi sendiri. Profesion ini perlu dihormati seperti kita menghormati doktor atau peguam,” katanya.