SHAH ALAM, 12 JAN: Pengarah sebuah syarikat di Terengganu kerugian hampir RM3 juta akibat terjerat dengan tawaran kerja melalui platform dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa lelaki berusia 66 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu 11.06 pagi semalam.
Menurutnya, mangsa diperkenalkan dengan perniagaan melalui platform dalam talian oleh kenalan yang dikenali melalui WhatsApp pada Mei tahun lalu.
Katanya, mangsa kemudian mendaftar perniagaan pada pautan yang diberi dan dijanjikan keuntungan antara 10 hingga 25 peratus daripada modal dilaburkan, lapor Harian Metro.
Mangsa kemudian membuat bayaran ke 18 akaun bank berbeza dari 10 Jun hingga 7 November tahun lalu, berjumlah RM2,946,799.
"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak dapat memindahkan wang dari platform berkenaan ke akaun bank miliknya.
"Menyedari ditipu mangsa membuat laporan polis," katanya sambil menyatakan sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan sendiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


