Mayat kanak-kanak lemas ditemui terdampar di pantai

11 Jan 2026, 12:25 AM
Mayat kanak-kanak lemas ditemui terdampar di pantai
Mayat kanak-kanak lemas ditemui terdampar di pantai

SHAH ALAM, 11 JAN: Pencarian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dilaporkan lemas di Pantai Sauh, Batu Rakit, di Kuala Nerus, Terengganu berakhir apabila mayatnya ditemukan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Superintendan Azli Mohd Noor berkata mayat Muhammad Zarif Mohd Hazahari ditemui kira-kira jam 3 pagi, terdampar di pantai pada jarak lebih enam kilometer dari lokasi kejadian.

“Mayat kanak-kanak mangsa lemas itu ditemui pasukan penyelamat bersama penduduk setempat kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Dalam kejadian jam 6 petang Jumaat lalu, mangsa yang merupakan anak kelima daripada enam beradik dihanyutkan ombak besar ketika berada di pantai berkenaan bersama ibu saudara dan empat kanak-kanak lain.

Siasatan awal mendapati mangsa ke gigi air untuk membasuh kaki sebelum dipukul ombak besar dan dihanyutkan arus deras.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai agensi diteruskan sepanjang dua hari sebelum penemuan mangsa, sekali gus menamatkan pencarian.