Selangor gesa program ‘Glamping With Pride’ dibatalkan, tegas tolak promosi LGBT

10 Jan 2026, 8:30 AM
Selangor gesa program ‘Glamping With Pride’ dibatalkan, tegas tolak promosi LGBT

SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Selangor menggesa penganjur membatalkan program ‘Glamping With Pride’ yang dipercayai dianjurkan oleh sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

EXCO belia berkata penganjuran program yang dijadual berlangsung di sebuah kawasan rekreasi di Hulu Langat hujung minggu depan itu jelas bercanggah dengan norma masyarakat serta nilai agama yang diamalkan di negara ini.

Menurut Mohd Najwan Halimi, Kerajaan Negeri memandang serius penganjuran aktiviti berkenaan dan telah berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tindakan lanjut.

“Kerajaan Negeri turut mengambil maklum pendirian tegas Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang melarang umat Islam daripada menyertai sebarang program berkaitan penyebaran unsur LGBT.

“Mais sudah menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha mempromosikan LGBT atau perkara yang bercanggah dengan norma masyarakat.

“Mereka (penganjur) sepatutnya tak payah buatlah, jika masih berdegil buatlah aktiviti perkhemahan atau riadah, jangan sebar perkara mengarut sehingga mempamerkan poster lelaki berbikini kerana di Malaysia kita tidak mengiktiraf LGBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Selangor Future Cup 2025/2026 Daerah Petaling di pusat beli-belah Central i-City, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Najwan mengingatkan masyarakat, khususnya umat Islam di Selangor, agar mematuhi titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang melarang sebarang penglibatan dalam aktiviti atau budaya berkaitan LGBT.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri kekal berpendirian tegas menolak sebarang usaha mempromosikan gaya hidup songsang, yang disifatkan sebagai provokasi berpotensi menjejaskan ketenteraman awam serta melemahkan institusi kekeluargaan.

“Ini bukan sekadar isu melibatkan agama Islam, malah agama lain juga tidak bersetuju dengan budaya dan nilai yang cuba disebarkan ini. LGBT bukan budaya rakyat Malaysia dan bukan budaya Timur,” tegasnya.

Hari ini, Mais menerusi kenyataan menegaskan pendirian menolak sebarang kegiatan yang menormalisasikan budaya songsang melibatkan komuniti LGBT, yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Agensi itu memaklumkan pihaknya memandang serius laporan media berhubung penganjuran program yang dikaitkan dengan komuniti LGBT serta sebarang usaha mempromosikan gaya hidup berkenaan.

“Sebagai badan yang bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam di Selangor, Mais menentang keras sebarang bentuk aktiviti yang bertujuan mempromosi, menyokong atau menormalisasikan gaya hidup songsang,” katanya.