Anwar: Kerajaan terus buru ‘big fish’, penguatkuasaan rasuah semakin berkesan

10 Jan 2026, 7:43 AM
Anwar: Kerajaan terus buru ‘big fish’, penguatkuasaan rasuah semakin berkesan

AMPANG JAYA, 10 JAN: Kerajaan akan meneruskan usaha membanteras rasuah secara menyeluruh, termasuk menjejaki individu berprofil tinggi atau “big fish”, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kritikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keberkesanan penguatkuasaan rasuah kini menunjukkan peningkatan ketara berbanding beberapa tahun lalu, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan tidak bersifat retorik semata-mata.

“Saya tidak mengatakan kita sudah sepenuhnya berpuas hati, tetapi usaha yang dilakukan amat signifikan.

“Kita telah menumpukan kepada ‘big fish’, termasuk bekas perdana menteri dan bekas menteri, serta terus memantau Kabinet dan jentera kerajaan dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Zoo Negara di sini, hari ini.

Perdana menteri menegaskan bahawa rasuah bukan sahaja bersifat endemik, malah sistemik, dan membanterasnya memerlukan usaha berterusan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), imigresen dan lain-lain. Walaupun banyak kes berjaya ditangani, cabaran besar masih berterusan,” katanya.

Beliau berkata usaha membanteras rasuah berdepan kekangan apabila sokongan daripada sesetengah pemimpin politik, termasuk pembangkang, tidak konsisten terutama apabila tindakan diambil terhadap pemimpin berpengaruh atau taikun besar.

“Walaupun ada kejayaan, isu besar masih membelenggu. Dalam kalangan pemimpin politik, termasuk pembangkang, sokongan terhadap usaha ini tidak begitu kukuh.

“Setiap kali tindakan diambil terhadap tokoh penting atau hartawan besar, pasti ada pihak yang mempersoalkannya.

“Namun pendirian kami jelas, usaha memburu mereka tidak akan dihentikan,” tegasnya.