Zoo Negara dapat RM5 juta lagi, perkasa pengurusan dan selenggara

10 Jan 2026, 6:19 AM
Zoo Negara dapat RM5 juta lagi, perkasa pengurusan dan selenggara
Zoo Negara dapat RM5 juta lagi, perkasa pengurusan dan selenggara
Zoo Negara dapat RM5 juta lagi, perkasa pengurusan dan selenggara

AMPANG JAYA, 10 JAN: Zoo Negara menerima peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta lagi bagi tujuan pengurusan dan penyelenggaraan pada tahun ini, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata ia susulan prestasi Zoo Negara yang memberangsangkan, khususnya dalam menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa serta peranannya sebagai pusat pendidikan pemeliharaan alam sekitar.

“Ini lawatan pertama ke Zoo Negara tahun ini menepati teras Malaysia Madani dalam aspek penghijauan. Tahun lalu, saya telah meluluskan RM5 juta untuk penambahbaikan fasiliti dan selenggara Zoo Negara ini.

“Untuk tahun ini, saya bersetuju meluluskan tambahan RM5 juta bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan terus berada pada tahap terbaik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Zoo Negara di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan kehadiran pasangan gergasi panda baharu iaitu Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina) dari China sebagai sumbangan amat bermakna buat negara.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini, melalui Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Republik Rakyat China, Presiden Xi Jinping, Perdana Menteri Li Qiang, serta seluruh Kerajaan China atas sumbangan yang amat bermakna ini.

“Kehadiran panda ini merupakan satu tarikan utama kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta seluruh pasukan Zoo Negara atas keupayaan menjaga panda ini dengan baik.

“Ia merupakan satu pencapaian membanggakan kerana mencerminkan keupayaan dalam negara,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menegaskan tiada keperluan mendesak untuk memperluaskan kapasiti Zoo Negara, namun perbincangan sedang dijalankan bersama Kerajaan Selangor mengenai keperluan meningkat ruang fasiliti jika terdapat keperluan.

“Perkara ini perlu diteliti dengan rapi kerana kawasan sekitar kini agak sesak susulan pembangunan berskala besar di luar kawasan zoo.

“Kita mempunyai tanah rizab dan tidak semestinya memanfaatkan setiap inci. Kerajaan amat tegas dalam memastikan kawasan ini kekal sebagai hijau,” ujarnya.