SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita jentera serta mengeluarkan notis kepada pemilik tanah susulan isu pembuangan dan pembakaran sampah haram yang berlarutan di kawasan berhampiran Stesen KTM Serendah.
MPHS memaklumkan pihaknya turut memperketat penguatkuasaan dengan melakukan rondaan dan pemantauan berterusan bagi mengelak kes berulang, selain memastikan tindakan segera diambil terhadap pihak terlibat.
“MPHS memandang serius sebarang aktiviti pembuangan dan pembakaran sampah secara haram kerana perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah mengancam kesihatan awam serta keselamatan penduduk setempat.
“Pihak kami turut menerima aduan berulang daripada penduduk setempat berhubung aktiviti pembakaran sampah haram yang menjejaskan kesihatan dan keselesaan, selain mengesan beberapa lokasi panas longgokan sampah haram di kawasan berkenaan.
“Susulan aduan tersebut, MPHS telah tindakan penguatkuasaan pada 4 Januari 2026,” maklumnya kepada Media Selangor.
Jelas MPHS, pemeriksaan lanjut mendapati tanah terlibat adalah milik pemaju, justeru Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah dikeluarkan kepada pemilik tanah.
“Pemilik tanah telah memberi komitmen bertulis untuk mengambil tindakan segera termasuk memasang pagar, membersihkan kawasan serta memantau tanah bagi mengelakkan pencerobohan,” katanya.
MPHS menegaskan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan kerjasama orang awam amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan penduduk serta kelestarian alam sekitar di daerah Hulu Selangor sentiasa terpelihara.



