SHAH ALAM, 7 JAN: Di lorong hospital yang sibuk, ketika warga emas berdepan rawatan dan ahli keluarga tidak selalu mampu menemani, muncul satu peranan baharu yang semakin penting iaitu pengiring perubatan.
Bukan doktor atau ahli keluarga, pengiring perubatan memastikan pesakit tidak berseorangan ketika mengurus rawatan dan prosedur hospital, sekali gus menjaga kesejahteraan serta maruah mereka dalam saat paling rapuh.
Pengurus Pusat Jagaan Le Maison merangkap pengiring perubatan, Yee Sook Ping berkata perkhidmatan itu telah lama diamalkan di luar negara termasuk Taiwan yang mempunyai sistem latihan profesional.
Namun katanya, perkhidmatan itu masih baharu dan kurang difahami di Malaysia, dengan penawaran yang masih terhad serta kebanyakannya dilakukan secara sambilan, termasuk oleh warga asing.
Menurut beliau, walaupun pengiring warga asing mungkin tidak berdepan masalah dari segi bahasa Inggeris atau prosedur hospital, perbezaan bahasa dan budaya sering menyukarkan komunikasi mendalam dengan pesakit warga emas.
Doktor sambut baik pengiring perubatan tempatan
Bagaimanapun, Sook Ping berkata kebanyakan doktor menyambut baik kewujudan pengiring perubatan tempatan, malah ada yang meminta kad nama untuk dirujuk kepada keluarga yang tidak dapat menemani ibu bapa mereka akibat komitmen kerja.
Katanya, perubahan demografi negara ditambah dengan trend perkahwinan dan keibubapaan lewat menyebabkan golongan pertengahan umur berdepan tekanan generasi ‘sandwic’ iaitu perlu menjaga ibu bapa dan anak serentak.

“Apabila warga emas dan anak kecil sama-sama memerlukan perhatian, golongan yang sering terabai ialah orang tua.
"Di sinilah pengiring perubatan mengisi jurang penjagaan yang sekian lama wujud,” katanya yang mempunyai 16 tahun pengalaman mengendalikan pusat jagaan warga emas.
Permintaan meningkat sejak setahun lalu
Beliau menjelaskan, permintaan terhadap perkhidmatan pengiring perubatan meningkat ketara sejak setahun lalu, mendorongnya memperluaskan perkhidmatan itu kepada masyarakat umum dan bukan sekadar di pusat jagaan.
Menurut beliau, perkhidmatan pengiring bukan sekadar menemani pesakit ke hospital, sebaliknya melibatkan sistem penjagaan menyeluruh.
“Daripada pengangkutan, pendaftaran, rawatan, pemeriksaan, pengambilan ubat hingga susulan selepas pulang ke rumah, kami menyediakan perkhidmatan secara menyeluruh,” katanya.
Selain itu, pasukannya turut menyediakan pengurusan penjagaan termasuk pemantauan kesihatan, penyusunan dan pemeriksaan ubat, peringatan pengambilan ubat serta temu janji, pemasangan butang kecemasan dan bantuan harian.
Jambatan komunikasi antara pesakit dan doktor
Sebelum menemani pesakit, pengiring perubatan akan mendapatkan maklumat awal daripada keluarga seperti sejarah penyakit, perubahan kesihatan atau ketidakselesaan terkini bagi memastikan maklumat lengkap dapat disampaikan kepada doktor.
Sook Ping berkata, majoriti penerima perkhidmatan terdiri daripada warga emas dan individu yang tinggal bersendirian, termasuk mereka yang anak-anak menetap di luar negara atau tidak mempunyai sistem sokongan.

Menurut beliau, kira-kira 70 peratus pelanggan adalah warga emas, 20 peratus individu tinggal bersendirian dan selebihnya warga asing.
“Ramai warga emas hanya memerlukan seseorang untuk menemani mereka ke hospital, tetapi tiada siapa yang boleh mengambil cuti. Di situlah peranan kami,” katanya.
Jaga fizikal, emosi pesakit
Beliau menambah, melalui pemantauan berterusan, risiko kecemasan yang tidak disedari dapat dikurangkan selain membantu meredakan kebimbangan emosi.
“Apabila setiap peringkat dari perjalanan ke hospital hingga pulang ke rumah, ada yang menjaga fizikal dan emosi mereka. Warga emas akan berasa dihargai dan dihormati,” katanya.
Dari segi bayaran, Sook Ping berkata perkhidmatan asas pengiring dikenakan caj RM200 bagi tempoh empat jam, manakala pakej termasuk pengurusan penjagaan berharga RM250, tidak termasuk kos pengangkutan yang dikira mengikut jarak.
Tegasnya, nilai pengiring perubatan bukan sekadar pada aspek penjagaan fizikal, tetapi juga sokongan emosi dan pemeliharaan maruah pesakit ketika berdepan situasi paling mencabar dalam kehidupan.



