Cuti sekolah: Ibu bapa pilih aktiviti luar, kawal penggunaan gajet anak-anak

29 Dis 2025, 1:00 AM
Cuti sekolah: Ibu bapa pilih aktiviti luar, kawal penggunaan gajet anak-anak

SHAH ALAM, 29 DIS: Cuti sekolah sering menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh kanak-kanak, namun bagi ibu bapa, tempoh ini dimanfaatkan untuk mengisi masa anak-anak dengan aktiviti berfaedah, khususnya di luar rumah, selain mengawal penggunaan gajet agar tidak berlebihan.

Bagi seorang suri rumah, Khairunnisa Halim, cuti sekolah digunakan sepenuhnya untuk membawa anak-anak keluar walaupun suaminya hanya bercuti pada hari tertentu.

Menurutnya, percutian dalam negeri seperti ke Port Dickson menjadi pilihan bergantung kepada keadaan cuaca, selain menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti luar berbanding bermain gajet.

Khairunnisa

“Cuti sekolah ini masa terbaik untuk aktiviti luar. Saya memang tidak benarkan anak-anak bermain gajet, sebaliknya galakkan mereka bermain di luar supaya lebih aktif,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Wollongong Malaysia, Noorhaiza Masri, berkata aktiviti awal cuti lebih tertumpu kepada berjalan-jalan dan makan bersama keluarga selain memberi keutamaan kepada aktiviti luar berbanding berada di rumah.

“Penggunaan gajet anak-anak memang dikawal dengan jadual dan had masa.

“Setakat ini mereka lebih cenderung memilih aktiviti luar berbanding bermain gajet,” katanya.

Bagi Eksekutif Perhubungan Pelanggan IOI Properties, Harina Atan, cuti sekolah dimanfaatkan untuk menguruskan urusan berkhatan anak selain menghantar mereka menyertai latihan silat.

Katanya, aktiviti tersebut bukan sahaja membina disiplin dan kemahiran diri, malah membantu mengurangkan kebergantungan terhadap gajet.

Harina

“Penggunaan gajet dikawal dengan memberi anak-anak aktiviti kemahiran seperti menjahit dan menyulam supaya masa mereka diisi dengan perkara lebih berfaedah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pegawai IT Bio Consulting, Thevaraj Subramaniam berkata aktiviti luar rumah dipilih untuk kesejahteraan mental anak-anak.

“Selepas anak-anak banyak belajar di rumah, aktiviti luar sangat penting untuk rehat mental mereka.

“Penggunaan gajet anak-anak di rumah dikawal dengan had masa, bukan secara bebas,”jelasnya.

Thevaraj

Bagi Penolong Naib Presiden (AVP) dan Pengurus Projek di Great Eastern Life Assurance Malaysia, Danial Aizat Mat Husin, cuti sekolah lebih banyak diisi dengan aktiviti mengemas rumah dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya lebih selesa duduk di rumah berbanding keluar ke tempat sesak.

“Walaupun agak sukar mengawal penggunaan gajet, anak-anak tetap dipantau dengan peraturan dan had yang ditetapkan,” katanya.

Secara keseluruhan, kebanyakan ibu bapa dilihat lebih cenderung memilih aktiviti luar dan aktiviti kekeluargaan sempena cuti sekolah sebagai usaha mengurangkan kebergantungan anak-anak terhadap gajet, selain membina hubungan kekeluargaan yang lebih erat.

Penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia semakin meningkat sejajar dengan kemajuan teknologi dan pembelajaran dalam talian, namun penggunaan tanpa kawalan boleh menjejaskan perkembangan fizikal, emosi dan sosial, sekali gus menuntut peranan ibu bapa untuk mengimbangi teknologi dengan aktiviti luar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.