Amaran hujan peringkat waspada di lima negeri

6 Jan 2026, 1:08 PM
Amaran hujan peringkat waspada di lima negeri

SHAH ALAM, 6 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan dengan luruan monsun dijangka berterusan sehingga 11 Jan ini.

MetMalaysia memaklumkan keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di timur Semenanjung dan barat Sarawak, selain angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh tersebut.

“Sehubungan itu, amaran hujan berterusan (waspada) telah dikeluarkan bagi negeri Terengganu, utara Kelantan dan timur Pahang berkuat kuasa sehingga 8 Januari 2026, timur Johor berkuat kuasa daripada 7 hingga 8 Janari 2026.

“Manakala bagi barat Sarawak berkuat kuasa daripada 9 sehingga 10 Januari 2026. Amaran angin kencang dan laut bergelora juga dikemas kini berkuat kuasa sehingga 8 Januari 2026 bagi Laut China Selatan,” menurut kenyataan.

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

-- BERNAMA