Hujung minggu lebih meriah di Volunheritage@Jambatan Kota Klang

6 Jan 2026, 12:00 PM
Hujung minggu lebih meriah di Volunheritage@Jambatan Kota Klang

SHAH ALAM, 6 JAN: Jambatan Kota Klang bakal menjadi tumpuan hujung minggu menerusi penganjuran program Volunheritage pada setiap Sabtu sepanjang bulan ini.

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memaklumkan pelbagai program berteraskan seni kreatif dan pelancongan bertemakan “Jejak Warisan Klang” akan diadakan bermula jam 4 petang hingga 11.30 malam.

Menurut MBDK, karnival tersebut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk jualan oleh pengusaha, pengkarya, artisan serta penggiat kreatif tempatan.

“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi dan pameran seni sepanjang jambatan seperti seni karikatur, seni kartun, seni komik dan seni kait.

“Orang ramai dijemput hadir bagi menyokong seni, warisan dan pelancongan Klang bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan.

Tambah MBDK, selain menikmati keindahan seni kreatif, pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman santai sambil menyokong usaha mempromosikan identiti budaya dan pelancongan bandar diraja Klang.

“Mari bersama-sama menyokong seni, warisan dan pelancongan Klang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, orang ramai boleh mengikuti media sosial @volunheritage.