Tiada ejen, MPAJ dan MPSepang guna sistem dalam talian urus bazar Ramadan

6 Jan 2026, 6:00 AM
Tiada ejen, MPAJ dan MPSepang guna sistem dalam talian urus bazar Ramadan

SHAH ALAM, 6 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan permohonan lesen sementara bazar Ramadan sepenuhnya secara dalam talian bagi memastikan ketelusan serta mengelak peniaga dikenakan bayaran berlebihan oleh pihak ketiga atau orang tengah.

MPAJ memaklumkan, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan penipuan jualan petak bazar Ramadan dan berharap tiada unsur penjualan petak oleh pihak ketiga berlaku di kawasan pentadbirannya.

Pihaknya turut menasihatkan peniaga agar sentiasa mengikuti media sosial rasmi MPAJ bagi mendapatkan senarai lokasi dan kadar harga petak bazar Ramadan yang ditawarkan.

“Permohonan bazar Ramadan MPAJ hanyalah melalui sistem e-penjaja di pautan https://intranet.mpaj.gov.my/penjaja/login.php,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut MPAJ, permohonan secara dalam talian mampu menutup ruang berlakunya sebarang unsur tidak telus dalam proses permohonan lesen bazar Ramadan.

“Permohonan secara dalam talian mampu mengelak berlakunya sebarang unsur tidak telus dalam permohonan Bazar Ramadan MPAJ serta menutup ruang untuk pihak lain mengambil kesempatan seperti jualan semula petak dengan caj yang berganda atau sebagainya.

“Semakan susulan oleh pihak MPAJ di tapak bazar Ramadan juga akan dilaksanakan bermula 1 Ramadan 1447H bagi memastikan petak bazar Ramadan yang dimohon oleh peniaga diuruskan oleh peniaga sendiri,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dr Ani Ahmad. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dr Ani Ahmad berkata, pihaknya juga melaksanakan sistem permohonan bazar Ramadan secara dalam talian sepenuhnya sejak 2022.

Menurut beliau, secara umumnya semua pemohon telah maklum dan menggunakan sistem berkenaan tanpa sebarang masalah sepanjang pelaksanaannya.

“MPSepang turut menyediakan rujukan dan panduan bagi membantu mereka dalam membuat permohonan melalui portal rasmi Majlis serta saluran media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya.

Tambahnya, setakat ini MPSepang tidak menerima sebarang aduan berkaitan cubaan penipuan atau penjualan petak bazar Ramadan sepanjang penggunaan sistem dalam talian itu.

Namun, beliau menegaskan peniaga dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan pihak ketiga sekiranya berdepan sebarang perkara meragukan.

“Terus kemukakan aduan atau pertanyaan kepada Jabatan Pelesenan MPSepang bagi tujuan semakan serta tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengelak penggunaan ejen atau orang tengah dalam proses pendaftaran permit bazar Ramadan.

Sebaliknya, beliau mencadangkan PBT mencontohi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang melaksanakan pendaftaran bazar Ramadan secara dalam talian bagi meningkatkan ketelusan serta mengurangkan beban kos kepada peniaga.