ECRL tingkat kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau - PM

5 Jan 2026, 12:18 PM
ECRL tingkat kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau - PM

SHAH ALAM, 5JAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi inisiatif strategik negara serta simbol kerjasama erat antara Malaysia dan China, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, projek rel itu juga dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab jaringan dan logistik serantau di Asia Tenggara.

Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC), Song Hailiang, bersama delegasi yang merupakan kontraktor utama bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan ECRL.

“Pertemuan menumpukan perbincangan sokongan CCCC terhadap dasar kerajaan yang selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selain membincangkan kemajuan semasa ECRL dan kepentingan memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual, serta memberi limpahan pembangunan ekonomi kepada industri dan kawasan terlibat,” katanya.

Beliau menegaskan semua pihak berkepentingan perlu membuat persiapan rapi bagi fasa operasi ECRL supaya projek dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh negara.

ECRL adalah jajaran sepanjang 665km merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dan direka bentuk untuk meningkatkan mobiliti penumpang dan kesalinghubungan kargo antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

Setakat Oktober 2025, projek berkenaan mencapai 89 peratus kemajuan keseluruhan dan dijangka memulakan operasi pada Januari 2027.